SUV paling besar dalam keluarga Mercedes-Benz – GLS – generasi terkini bakal didedahkan secara rasmi tidak lama lagi, tetapi nampaknya imej model berkenaan telah terlebih dahulu bocor di internet. Set foto ini telah disiarkan oleh Almuraba, dan SUV yang akan berhadapan terus dengan BMW X7 ini nampaknya menampilkan rupa seakan adiknya yang, GLE W167.

Seperti juga model-model terkini Mercedes-Benz, GLS diberikan gril berbentuk oktagon dengan dua bar krom. Rekaan lampu LED dan dan juga apron bahagian bawah juga kelihatan seperti GLE jika ditengok sekali imbas.

Bahagian belakang turut menerapkan konsep yang sama, di mana GLS diberikan lampu LED yang tidak jauh beza dari GLE, kecuali pada grafik dalamannya. Perbezaan ketara pada SUV ini tentulah pada badannya, yang kelihatan jauh lebih besar dan panjang.

Masuk ke kabin, bayangan GLE masih boleh dilihat. Ia menerima papan pemuka dengan dua skrin gergasi 12.3-inci yang berfungsi sebagai paparan instrumen digital serta sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX). Pemandu menerima roda stereng tiga jejari dengan kemasan panel hitam dan kayu.

Mercedes-Benz GLS ini dibina berdasarkan platform terkini Modular High Architecture (MHA) yang juga asas sama dengan GLE. Jadi ia dijangka tampil dengan berat badan lebih ringan dari model sebelum ini.

Empat pilihan janakuasa akan telah dikhaskan untuk platform berkenaan, terdiri dari enjin-enjin empat-, enam- dan lapan-silinder dan dijangka GLS akan diberikan pilihan dua enjin paling besar dari senarai tersebut. Platform tersebut turut direka bagi menempatkan konfigurasi pacuan belakang atau AWD, serta boleh menerima unit janakuasa elektrik.

GLS juga mungkin akan ditawarkan dalam versi petrol dan diesel dari barisan enjin enam-silinder, manakala untuk lapan silinder pula adalah enjin V8 4.0 liter turbo berkembar. Versi lebih liar AMG juga dijangka diperkenalkan, dikuasakan oleh enjin V8 turbo berkembar M176 yang ditala semula. Bagi model sebelum ini, Mercedes-AMG telah pun menawarkan model GLS 63 dengan enjin 5.5 liter V8 turbo berkembar.