Sejak beberapa tahun ini pengedar rasmi Suzuki di Malaysia memang agak senyap. Mereka kurang berhubung dengan pihak media, dan pejabat urusan di Glenmarie juga sudah ditutup. Tapi, operasi mereka sebenranya masih lagi berjalan, dengan lebih tertumpu kepada motosikal kapasiti tinggi import, dan ibu pejabat di Pulau Pinang.

Tahun ini secara globalnya, Suzuki mempunyai sebuah model penting, di mana ia sudah mempunyai nama yang dikenali tetapi ini adalah generasi baru. Model yang dikatakan adalah Katana 2019. Ia baru sahaja didedahkan kepada dunia hujung tahun lalu, dan jangan terperanjat, ia sudah pun tiba di Malaysia.

Suzuki Malaysia telah memuat naik beberapa gambar yang menunjukkan Katana sudah sampai di ibu pejabat mereka, dan setakat yang dapat dilihat cuma ada satu unit sahaja. Kami buat tekaan, ini mungkin untuk latihan teknikal ataupun untuk dibawa ke pameran jelajah mereka. Maklumat bila ia dilancarkan di sini masih belum diketahui.

Tetapi, ada wakil pengedar Suzuki yang telah mula meletakkan harga awal untuk tempahan Katana ini dan ia tertera RM85,000. Sudah tentu, ini bukanlah harga rasmi, tapi kalau melihat kepada langkah-langkah yang diambil oleh Suzuki Malaysia sebelum ini, ia kedengaran masuk akal. Kalau anda mahu tahu, sebelum ini juga Suzuki Malaysia mempunyai harga yang mesra pengguna melalui model berkapasiti tinggi mereka yang diimport sepenuhnya daripada Jepun, tapi kurang mendapat sambutan mungkin kerana model itu sendiri tidak menarik.

Katana baru menggunakan enjin yang diambil daripada GSX-R1000 – unit empat silinder sebaris DOHC 999 cc dengan kuasa 150 hp dan transmisi enam kelajuan, dan ia mempunyai pelbagai kelengkapan moden lain seperti suspensi USD di hadapan, monoshock di belakang, set brek cakera Brembo berkembar di hadapan dan satu di belakang, serta meter jenis digital.

GALERI: Suzuki Katana 2019