Proton X70 dilancarkan pada bulan Disember tahun 2018 dalam empat varian berbeza, tapi tiada aksesori pilihan lain yang disediakan. Perkara ini disedari oleh Proton, dan sekarang, syarikat itu telah mengeluarkan aksesori asli untuk X70.

Bermula pada bahagian luar, anda kini boleh menghias X70 dengan pemijak tepi berharga RM1,499 ataupun visor tepi tingkap gelap berharga RM288. Jika sayangkan cat kenderaan pula, anda boleh memilih plet pelindung aluminium di atas bampar (mengurangkan calar apabila memasukkan barang dalam but) berharga RM199 ataupun lapisan plastik pelindung pada pembuka pintu (RM100 untuk empat keping).

Sudah tentu, satu lagi aksesori popular adalah lapisan penapis haba (tint film) untuk cermin. Bagi bahagian ini, Proton menyediakan dua pilihan daripada Llumar iaitu solar atau keselamatan. Harga untuk lapisan solar adalah RM1,688 manakala untuk lapisan keselamatan RM2,388, dan anda boleh menambah RM200 lagi untuk memasangnya pada sunroof.

Masuk ke dalam, pemilik X70 ditawarkan perakam video digital (dashcam) berharga RM1,299, penghadang cahaya matahari bermagnet (RM228) dan alas kaki (RM185). Untuk pengetahuan anda, penghadang cahaya matahari tersebut (satu untuk setiap pintu) tidak akan mengganggu operasi naik turun tingkap manakala alas kaki datang dalam tiga keping iaitu dua untuk hadapan dan satu yang besar untuk belakang. Tempat duduk kanak-kanak juga dijual pada harga RM799.

Di dalam but, Proton menawarkan pelapik plastik (boot tray) berharga RM188 yang dapat dibersihkan dengan senang dan menjaga karpet bahagian kargo daripada rosak. Bagi mereka yang mahu memastikan barang di bahagian ini terurus pula, terdapat pilihan jaring kargo berharga RM55 dan kotak kain boleh lipat berharga RM75.

Semua aksesori pilihan ini boleh dibeli secara berasingan, tetapi Proton juga ada menyediakan pakej supaya anda boleh berjimat. Pakej Utility yang berharga RM2,060 datang dengan pemijak tepi, visor tepi, pelapik plastik but, jaring kargo, kotak kain serta penghadang cahaya matahari, dan melaluinya anda boleh jimat RM273.

Pakej Urban yang termasuk alas kaki, kamera perakam, lapik atas bampar belakang, plastik pelindung pemegang tepi dan penapis keselamatan Llumar dijual pada harga RM3,750, ataupun RM3,900 sekiranya penapis keselamatan tersebut dipasang pada sunroof. Kalau dibandingkan dengan harga sekiranya dibeli berasingan, anda boleh jimat masing-masing RM421 dan RM471.

Sudah tentu, ada saja aksesori ini dijual di ‘kedai luar’, tapi apabila anda mendapatkannya terus daripada Proton dan ia merupakan aksesori asli, kemasannya adalah lebih baik dan berkualiti. Anda juga boleh memilih aksesori ini waktu membuat tempahan kenderaan, dan harganya akan dimasukkan sekali dalam jumlah pinjaman sewa beli. Aksesori asli Proton X70 ini datang dengan jaminan enam bulan dan tidak akan menjejaskan jaminan kenderaan.