Buat masa ini, Land Rover tidak akan memperkenalkan model semua-elektrik (EV) bagi Range Rover Evoque, sekurang-kurangnya sehingga tahun 2025, bertujuan untuk terus memfokuskan usaha terhadap teknologi hibrid, seperti yang dilaporkan oleh Autocars. Menurut ketua Jaguar Land Rover UK Rawdon Glover, sementara “akan ada pasaran untuk SUV elektrik bersaiz kecil hingga sederhana”, perkara tersebut tidak akan terlaksana sebelum Evoque generasi baharu tiba.

Evoque generasi-kedua, yang diperkenalkan pada Novemnber lalu, dengan menggunakan platform Premium Transverse Architecture baharu yang boleh menampung teknologi hibrid sederhana dan plug-in hybrid. Pada pelancarannya, SUV tersebut dilengkapi dengan sistem hibrid sederhana 48-voltan (yang pertama buat pengeluar kereta berkenaan), dan juga bateri 48-voltan yang diletakkan di bawah lantainya.

Laporan tersebut turut menambah, walau bagaimana pun, model plug-in hybrid (PHEV) yang akan diperkenalkan pada tahun ini. Ia akan dijanakan oleh enjin petrol 1.5 liter dengan gabungan motor elektrik yang dikatakan mampu menghasilkan output sehingga 108 hp. Glover menggambarkan Evoque PHEV ini sebagai “fleet game-changer” bagi pengeluar tersebut, dan meramalkan ia akan menghasilkan lebih daripada satu pertiga daripada jualan Evoque di UK apabila dilancarkan.

Walau bagaimana pun, Autocars turut menyebut platform yang digunakan tidak boleh menampung penjana kuasa elektrik sepenuhnya, dan oleh sebab itu binaan baharu mungkin akan diimplementasikan untuk model generasi-ketiga.

Land Rover percaya teknologi PHEV mampu menjadi landasan yang munasabah untuk Evoque, berbanding varian elektrik sepenuhnya, setelah melihat kejayaan yang dicipta oleh Range Rover dan Range Rover Sport PHEV yang dilancarkan pada 2017. Namun demikian, rancangan elektrik yang lebih luas untuk Land Rover masih tidak dapat disahkan lagi, tetapi versi elektrik untuk Range Rover dijangka akan diperkenalkan kurang dalam tempoh lima tahun ini.