Serentak dengan pengenalan model generasi baharu BMW 1 Series F40, jenama premium dari Jerman tersebut turut memperkenalkan komponen-komponen M Performance bagi meningkatkan imej sporty hatchback berkenaan.

Untuk bahagian luaran, kit ini terdiri dari splitter udara dan juga sirip aero pada bampar hadapan, serta gril kidney kemasan hitam dengan elemen mesh sama seperti pada varian tertinggi M135i xDrive.

Pada bahagian belakang, pembeli boleh memilih spoiler bumbung dengan saiz yang lebih besar. Komponen-komponen gentian karbon juga ditawarkan terdiri dari diffuser belakang dan juga penutup cermin sisi pandang belakang. Selain itu, kemasan pada bendul pintu dan juga lampu puddle LED juga boleh dipilih dalam kit ini.

Bukan sekadar rupa, tingkat taraf untuk prestasi pemanduan juga turut ditawarkan. Pembeli boleh memilih sistem brek M Performance yang lebih besar, terdiri dari cakera hadapan bersaiz 18-inci dengan angkup empat omboh yang diperbuat dari bahan aluminium, dan cakera belakang yang lebih ringan dengan omboh tunggal.

Tiga set rim boleh digayakan dengan kit ini iaitu rim 18-inci M Performance forged 554M dengan jejari-Y kemasan Jet Black matte, rim 18-inci aloi ringan 711M jejari-Y kemasan Ferric Grey, serta set paling besar M Performance 19-inci aloi ringan 555M jejari berkembar.

Bahagian dalaman juga boleh ditingkat taraf dengan pilihan roda stereng M Performance yang dibaluti Alcantra dengan pilihan kemasan gentian karbon/Alcantara dan gentian karbon/kulit – kedua-duanya hadir dengan penanda tengah berwarna merah.

Selain itu, M Performance turut menawarkan pedal penukar gear gentian-karbon, dan juga karpet-karpet lantai velvet velour dengan warna M bagi melengkapkan bahagian kabin.

BMW 1 Series F40 ini merupakan model pacuan roda hadapan, berbeza dari model sebelumnya yang hadir dengan platform pacuan belakang. Dua enjin diesel dan dua enjin petrol ditawarkan untuk model generasi baharu ini.

Model paling rendah untuk diesel adalah 116d yang dijana enjin 1.5 liter tiga-silinder turbodiesel berkuasa 116 PS (114 hp) dan tork maksima 270 Nm. Ia ditawarkan sama ada dengan kotak gear manual enam-kelajuan atau klac berkembar Steptronic automatik tujuh-kelajuan.

Versi dengan enjin empat-silinder 2.0 liter pula datang dengan dua talaan iaitu 118d berkuasa 150 PS (147 hp) dan tork maksima 350 Nm, manakala 120d xDrive pula menjana 190 PS (188 hp) dan tork maksima 400 Nm. Versi 118d tampil dengan kotak gear manual enam-kelajuan sebagai ciri standard, bersama opsyen transmisi automatik konvensional lapan-kelajuan Steptronic. 120d pula hanya diberikan pilihan kotak gear automatik.

Bagi versi petrol, model paling rendah 118i dijana enjin 1.5 liter turbo tiga-silinder berkuasa 140 PS (138 hp) dan tork maksima 220 Nm. Pilihan kotak gear untuk model ini adalah sama seperti 116d.

Model tertinggi pula adalah M135i xDrive, dikuasakan enjin yang sama pada BMW X2 F39 M35i iaitu enjin produksi empat-silinder BMW paling berkuasa pernah dihasilkan setakat ini, unit 2.0 liter turbo menjana 306 PS (302 hp) dan tork maksima 450 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan Steptronic Sport dengan sistem pacuan semua roda BMW xDrive.