BMW 3 Series Touring G21 tampilkan lebih praktikaliti

BMW 3 Series Touring G21 tampilkan lebih praktikaliti

Kereta jenis wagon (juga dipanggil estate di beberapa tempat) masih lagi popular bagi pengguna kenderaan di Eropah, dan disebabkan itu BMW telah memperkenalkan 3 Series Touring G21 baru untuk mereka yang mencari lebih praktikaliti berbanding 3 Series Sedan G20.

Jika dibandingkan dengan 3 Series Touring F31 sebelumnya, model baru ini adalah lebih besar, dengan ukuran 4,709 mm panjang (+76 mm), 1,827 mm lebar (+16 mm) dan 1,470 mm tinggi (+8 mm). Jarak roda depan dan belakang pula sekarang menjadi 2,851 mm (+41 mm), sementara jarak roda kiri dan kanan adalah 1,573 mm (+43 mm) di hadapan dan 1,569 mm (+21 mm) di belakang.

Walaupun mempunyai dimensi lebih besar, model baru ini masih mencatat berat kurang 10 kg berbanding model sebelumnya, hasil daripada penggunaan lebih banyak besi berkekuatan tinggi dan aluminium. Ketegaran badan juga meningkat 25% secara keseluruhan dan mempunyai pembahagian berat 50:50.

Melihat kenderaan ini daripada depan, tidak banyak beza rekaannya berbanding model sedan. Antara yang dilihat sama adalah gril hadapan besar serta lampu utama nipis yang didatangkan dengan sistem LED penuh secara standard (Adaptive LED dengan BMW Laserlight didatangkan sebagai pilihan tambahan).

BMW 3 Series Touring G21 tampilkan lebih praktikaliti

Barangan lain yang ditawarkan sebagai pilihan adalah lampu kabus, yang disepadukan pada bukaan udara luar, serta Air Curtain yang terdapat pada bucu bampar; kelengkapan ini adalah untuk varian Sport Line dan Luxury Line, dan bukannya Advantage Line yang paling asas. Model M Sport pula mendapat rekaan bampar yang lebih agresif dengan bukaan udara lebih besar.

Pergi ke belakang, aspek praktikaliti yang diambil berat menyaksikan cermin belakang lebih lebar 20 mm berbanding model sebelum ini dan ia boleh dibuka secara berasingan untuk akses ke ruang barangan tanpa membuka pintu but. Lampu belakang pula mempunyai pencahayaan berbentuk L dan di hujung bampar terdapat kemasan berbentuk T (untuk semua varian kecuali M Sport).

Kelebihan utama 3 Series Touring sudah tentu adalah ruang kargonya, yang menyaksikan peningkatan berbanding model sebelumnya. Bahagian but ini sekarang 112 mm lebih lebar dan bukaannya 30 mm lebih tinggi dan 125 mm lebih lebar di bahagian atas.

Hasilnya, bahagian barangan belakang ini sekarang menyediakan ruang 500 liter (+5 liter) dengan semua tempat duduk berada tegak seperti asal, dan apabila dilipat (40:20:40), anda akan mempunyai 1,510 liter ruang barangan.

BMW 3 Series Touring G21 tampilkan lebih praktikaliti

Memasukkan barang ke bahagian ini juga menjadi lebih mudah kerana ia lebih rendah 616 mm, dan jarak antara atas bampar dengan lantai but cuma 8 mm berbanding 35 mm sebelum ini. BMW menambah, 3 Series Touring juga boleh didapati dengan rel anti gelincir, petak barangan serta fungsi melipat tempat duduk secara elektronik.

Bahagian lain dalam kabin berkongsi banyak sistem dan ciri dengan model sedan, termasuk Live Cockpit Professional berserta panel instrumen 12.3 inci dan paparan infotainmen Control Display 10.25 inci dengan BMW Operating System 7.0 yang disediakan sebagai pilihan tambahan.

Versi yang lebih asas untuk sistem ini (Live Cockpit and Live Cockpit Plus) menggunakan panel instrumen warna hitam dengan skrin 5.7 inci dan Control Display 8.8 inci, dengan Live Cockpit Plus yang mempunyai Touch Controller, sistem navigasi, dua soket USB untuk penukaran data, sambungan Apple CarPlay dan Wi-Fi. Pilihan lain yang disedikan adalah seperti sistem bunyi Harman Kardon 16 pembesar suara, pengawal suhu tiga zon, bumbung panoramik, lampu suasana serta kemasan dalam.

BMW 3 Series Touring G21 tampilkan lebih praktikaliti

Sistem bantuan pemandu juga tidak berkurangan pada model ini, dengan brek kecemasan autonomous serta amaran keluar lorong diberikan secara standard. Sistem yang disediakan sebagai pilihan tambahan adalah Driving Assistant Professional, yang termasuk Active Cruise Control dengan fungsi Stop & Go, Steering and Lane Control Assistant, Lane Change Warning, Side Collision Protection, Evasion Assistant, Cross Traffic Alert, Priority Warning dan Wrong-Way Warning.

Semasa pelancaran, BMW menawarkan beberapa variasi enjin petrol untuk model ini, bermula dengan unit enam silinder 3.0 liter turbo xDrive M340i dengan jumlah kuasa 374 PS (369 hp) dan 500 Nm tork (0-100 km/j dalam masa 4.5 saat, laju maksimum 250 km/j).

Dua lagi varian selebihnya menggunakan enjin empat silinder turbo 2.0 liter. Pada 330i, enjin ini menghasilkan 258 PS (255 hp) dan 400 Nm (0-100 km/j dalam 5.8 saat, laju maksimum 250 km/j), manakala pada 320i ia menghasilkan 184 PS (181 hp) dan 300 Nm (0-100 km/j dalam 7.6 saat, laju maksimum 230 km/j). Semua varian petrol ini datang dengan transmisi automatik lapan kelajuan Steptronic, dengan ciri pacuan xDrive disediakan sebagai pilihan untuk 330i (standard untuk M340i).

Terdapat juga satu varian hibrid petrol 330e, yang akan ditawarkan menjelang tahun 2020, dengan kuasa keseluruhan 252 PS (248 hp). Ia menggunakan gabungan enjin empat silinder turbo 2.0 liter (184 PS atau 181 hp) dengan motor elektrik (109 PS or 107 hp) yang disepadukan pada kotak gear automatik lapan kelajuan.

Pergi kepada model diesel, terdapat varian 330d xDrive yang menggunakan enjin enam silinder turbo 3.0 liter dengan kuasa 265 PS (261 hp) dan 580 Nm (0-100 km/j dalam 5.4 saat, laju maksimum 250 km/j). Ia kemudiannya diikuti oleh 320d yang menggunakan enjin empat silinder turbo 2.0 liter dengan kuasa 190 PS (188 hp) dan 400 Nm (0-100 km/j dalam 7.4 saat, laju maksimum 225 km/j).

Akhir sekali adalah varian 318d yang menggunakan enjin empat silinder 2.0 liter tetapi cuma menghasilkan 150 PS (148 hp) dan 320 Nm. Transmisi manual enam kelajuan datang secara standard untuk 318d dan 320d, tetapi 320d boleh dipilih dengan transmisi automatik lapan kelajuan. Sistem pacuan empat roda juga boleh didapati untuk 320d, tetapi tiada pilihan transmisi automatik baginya.

Sama seperti model sedan, 3 Series Touring boleh didapati dengan suspensi M Sport untuk menggantikan suspensi standard. Dengan suspensi ini, ia 10 mm lebih rendah, dan ditambah dengan pendakap badan, spring dan anti-roll bar lebih tegar serta sudut camber yang lebih.

Kedua-dua tetapan suspensi ini bekerja dengan pengawal penyerap baru, yang merupakan satu sistem pasif yang memberikan serapan hidraulik tambahan pada roda hadapan dan sistem pengehad mampatan di bahagian belakang.

Sekiranya itu masih tidak mencukupi, pemilik juga boleh mendapatkan suspensi Adaptive M dengan penyerap kawalan elektronik yang disambungkan kepada Driving Experience Control dengan mod Comfort, Adaptive dan Sport. Variable Sport Steering diberikan secara terus untuk kedua-dua sistem suspensi M yang ditawarkan.

Pemilik juga kemudiannya boleh menambah lagi brek M Sport yang terdiri daripada cakera brek lebih ringan serta angkup empat piston di hadapan dan satu piston di belakang yang diwarnakan biru. Differential M Sport ditawarkan untuk 330i, 330i xDrive dan 330d xDrive dengan suspensi M Sport atau Adaptive M.

BMW 3 Series G21 Touring M Sport

BMW 3 Series G21 Touring Luxury Line

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required