ALL-NEW HONDA E PLATFORM ENGINEERED TO DELIVER EXCEPTIONAL URBAN DRIVING EXPERIENCE

Sebelum ini Honda telah mengesahkan bahawa kereta elektrik kompak Honda e yang akan dipasarkan pada tahun 2020 sah akan menerima kamera sisi bagi menggantikan cermin pandang belakang standard untuk semua varian. Kini, lebih banyak perincian untuk model janaan elektrik sepenuhnya itu didedahkan.

Hatchback comel yang direka seakan Honda Civic generasi pertama ini merupakan model pertama Honda yang dibina dari platform khas untuk janakuasa elektrik sepenuhnya, dan direka dengan asas “bagi memberikan dinamik pemanduan Honda yang cemerlang” dan “menawarkan pengalaman pemanduan yang mengujakan dan responsif.”

Honda meletakkan bateri lithium-ion 35.5 kWh dengan sistem penyejukkan cecair pada lantai kereta berkenaan, di tengah-tengah antara roda hadapan dan belakang. Ini membolehkan ia mempunyai pusat graviti yang rendah serta nisbah berat hadapan dan belakang 50:50, menyumbangkan kepada dinamik pemanduan yang baik.

Motor elektrik kereta ini pula bukan memacu roda hadapan, sebaliknya menyalurkan kuasa ke roda belakang, memberikan pacuan seakan kereta sport sebenar serta menawarkan stereng yang jitu walaupun dalam pecutan tinggi. Ia juga diberikan suspensi bebas untuk keempat-empat roda yang dihasilkan bagi menawarkan kestabilan dalam apa jua stuasi, pemanduan yang lancar dan juga pengendalian yang responsif. Berberapa komponen suspensi dihasilkan dari aluminium forged bagi mengurangkan beratnya.

Gabungan kesemua ini bersama dimensi kereta tersebut yang kecil serta juntaian hadapan dan belakang yang pendek, membolehkan Honda e dipandu di dalam bandar dengan sangat seronok serta boleh dikawal pada jalan-jalan sempit tanpa masalah, menurut Honda sendiri.

Ia juga diberikan sistem pengecaj semula sambungan AC Type 2 atau pengecas pantas CCS2 DC yang lebih universal berbanding kaedah CHAdeMO yang selalunya digunakan pada kereta-kereta elektrik Jepun lain. Ini kerana Honda e adalah sebuah model global dan buat permulaan ia akan dijual di Eropah. Pengecas pantas DC akan memberikan 80% cas penuh dalam tempoh 30 minit.

Port pengecas utama Honda e ini terletak pada bonet hadapan, di atas logo Honda. Port berkenaan juga mempunyai indikasi LED untuk memberitahu status cas, yang boleh dilihat menerusi panel lutsinar.

Di dalam kabin pula, papan pemuka kereta ini diberikan dua skrin sesentuh bersaiz besar, yang turut memaparkan jumlah cas elektrik dan juga carta grafik unit janakuasa yang menunjukkan aliran tenaga dan status caj serta pemulihan tenaga. Honda mendakwa bahawa dengan satu cas penuh, kereta ini boleh dipandu “lebih dari 200 km”

Menurut Honda lagi, sehingga kini Honda e telah menarik pendaftaran minat seramai 31,000 orang. Nampaknya macam boleh ‘meletup’ juga jualan kereta elekrik comel ini setelah ia dilancarkan nanti kan?