Untuk pasaran Malaysia, Lexus ES 250 2019 telah pun dibuka untuk tempahan kepada pelanggan yang berminat. Ada dua varian ditawarkan untuk sedan mewah generasi ketujuh ini; versi Premium yang dijual pada harga RM299,888 dan versi Luxury pula pada harga RM332,888.

Lexus ES 250 2019 dibangun menggunakan casis “Global Architecture” baru yang lebih panjang – K (GA-K) – yang merupakan versi Lexus bagi platform Toyota New Global Architecture (TNGA). Bagi enjin pula, ia menggunakan unit terkini 2.5 liter Dynamic Force empat-silinder suntikan terus petrol, menghasilkan 204 hp pada 6,500 rpm dan 243 Nm dari 4,000 hingga 5,000 rpm, bersama sistem transmisi automatik Direct Shift lapan-kelajuan yang menyalurkan kuasa ke roda hadapan.

Selain itu, pakej keselamatan Lexus Safety System+ (LSS+), yang ditampilkan awalnya pada mdoel Lexus NX300 2019, turut ditawarkan pada model ini. Ia merangkumi ciri seperti Bantuan Pengesan Lorong (LTA) dan Amaran Pertukaran Lorong (LDA), Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), Kawalan Melayar Radar Dinamik (DRCC) dengan fungsi Stop/Go dan Adaptive High-Beam System (AHS).

Melalui galeri ini, ia mempamerkan dengan lebih terperinci varian Luxury yang ditawarkan untuk pasaran tempatan. Anda rasa ia sepadan dengan harga yang dikenakan, memandangkan kereta ini diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun?

Lexus ES 250 Luxury 2019