Belum lagi dilancarkan secara rasmi, namun bilik pameran Bermaz di Glenmerie, Shah Alam sudah pun mempamerkan Mazda 3 generasi baharu. Seperti apa yang telah kami laporkan sebelum ini, kita menerima Mazda 3 2019 dalam bentuk badan sedan dan hatchback, dengan pilihan enjin 1.5L dan 2.0L, dibahagikan dalam tiga varian, dan ia adalah versi diimport sepenuhnya (CBU) terus dari Jepun.

Tiga varian berkenaan adalah versi asas, versi pertengahan High, dan versi tertinggi High Plus. Namun untuk model High, ia hanya dijual dalam versi sedan. Hanya dua buah contoh boleh anda lihat di bilik pameran tersebut buat masa sekarang iaitu varian asas 1.5L Sedan dan juga varian tertinggi 2.0L High Plus.

Bagi kesemua model 1.5 liter, ia dijana oleh enjin empat silinder tanpa turbo SkyActiv-G yang menghasilkan 114 hp dan tork maksima 150 Nm. Manakala model-model 2.0 liter pula dikuasakan oleh enjin empat silinder tanpa turbo SkyActiv-G, menjana 162 hp dan tork maksima 210 Nm. Kedua-dua enjin ini digandingkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan SkyActiv-Drive, memacu hanya roda hadapan.

Untuk membezakan antara varian pula, versi asas hadir dengan lampu hadapan projektor LED automatik dengan lampu nyalaan siang jenis mentol, lampu belakang LED, rim 16-inci, penghawa dingin manual zon-tunggal, paparan instrumen digital dengan skrin TFT-LCD tujuh-inci, skrin utama 8.8-inci dihubungkan kepada sistem infotainmen Mazda Connect bersama lapan-pembesar suara, upholsteri fabrik, paparan head-up dipancarkan ke cermin hadapan, papan pemuka dan panel dalaman pintu dengan kemasan-kemasan sentuhan-lembut dan juga tempat duduk hadapan larasan manual.

Model asas ini juga diberikan fungsi seperti cruise control konvensional, brek parkir elektronik lengkap dengan sistem brake hold dan juga mod pemanduan Sport yang akan menajamkan lagi respon pendikit dan menala semula karekter transmisi automatik.

Untuk model pertengahan 2.0L High pula, ia ditambah dengan sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, upholsteri kulit, cermin suria, cermin pandang belakang tanpa bingkai, sistem penghawa dingin dua-zon. Model ini juga ditambah dengan liang penghawa dingin untuk penumpang belakang. Namun seperti yang diberitahu tadi, contoh sebenar untuk varian ini masih belum dipamerkan.

Model tertinggi 2.0 High Plus pula, ia menerima lampu nyalaan siang LED berbentuk gelang diletakkan pada projektor LED lampu utama dan lampu belakang, serta rim bersaiz 18-inci. Warna Polymetal Grey yang anda lihat pada unit yang dipamerkan ini adalah warna yang hanya ditawarkan untuk versi hatchback. Pada bahagian kabin pula, model ini dilengkapkan dengan tempat duduk larasan elektrik 10-hala dengan fungsi memori dua slot.

Mazda 3 tertinggi ini juga menerima empat penderia parkir dihadapan, bersama fungsi keselamatan penuh Mazda i-Activsense yang terdiri dari Sistem Lampu Hadapan Adaptif (AFS), Kawalan Lampu Tinggi (HBC), Pemantau Titik Buta (BSM), Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA), Sistem Amaran Keluar Lorong (LDWS), Sistem Bantuan Kekal Lorong (LKAS), Amaran Perhatian Pemandu (DAA), Sokongan Brek Bandar Pintar (SCBS) dan buat pertama kali Bermaz manawarkan sistem Mazda Radar Cruise Control (MRCC) menerusi model ini.

Untuk kesemua varian, Mazda 3 generasi keempat ini hadir standard dengan sistem keselamatan yang terdiri dari brek ABS bersama EBD dan EBA, bantuan mula mendaki (HLA), Kawalan Dinamik Kestabilan (DSC) dan tujuh beg-udara (hadapan, sisi, tirai dan lutut pemandu).

Harganya? Bermula dengan versi asas 1.5 liter SkyActiv-G dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM139,770. Model pertengahan High pula (sekali lagi diingatkan varian ini hanya hadir dalam bentuk sedan) dijual pada harga RM150,059. Model tertinggi hatchback dan sedan High Plus pula dijual pada pasaran Malaysia dengan harga RM160,059.

Buat masa sekarang Bermaz belum bercadang untuk membawa Mazda 3 dijana enjin SkyActiv-X yang menampilkan teknologi Spark Controlled Compression Ignition (SPCCI) atau Pencucuh Mampatan Kawalan Percikan. Spesifikasi lebih terperinci untuk setiap model pula akan kami laporkan menjelang pelancarannya nanti iaitu pada 17 Julai 2019.

Mazda 3 Hatchback 2.0L High Plus 2019

Mazda 3 Sedan 1.5L 2019