Nissan Navara pasaran Eropah terima enjin diesel 2.3L turbo berkembar 190 PS/450 Nm, suspensi dipertingkat

Nissan Navara pasaran Eropah terima enjin diesel 2.3L turbo berkembar 190 PS/450 Nm, suspensi dipertingkat

Trak pikap Nissan Navara NP300 telah menerima kemaskini terbaharu untuk pasaran Eropah, yang bukan sahaja melibatkan kosmetik dan suspensi, malah turut menampilkan unit janakuasa baharu.

Navara versi Eropah ini menerima enjin diesel baharu dengan kapasiti lebih kecil iaitu 2.3 liter, tetapi disuap dengan dua pengecas turbo. Ia hadir dalam dua versi talaan iaitu 163 PS dengan tork maksima 425 Nm (versi 2.5 liter E hingga V di Malaysia diberikan enjin 2.5L turbodiesel berkuasa 163 PS/403 Nm), manakala versi paling berkuasa ditala bagi menghasilkan 190 PS dan tork maksima 450 Nm – sama seperti model VL dengan enjin 2.5L turbodiesel di sini.

Enjin baharu tersebut menampilkan omboh keluli bersama gegelang omboh yang disalut oleh karbon seperti permata, dan juga nisbah mampatan yang lebih rendah iaitu 15.1 berbanding 15.4 sebelum ini. Tekanan penyuntik bahan api telah ditingkatkan dari 2,000 bar kepada 2,200 bar yang dihasilkan dari pemadanan pam bahan api baharu, membolehkan semburan lebih halus, lebih tepat dan lebih efisien disuntik ke dalam kebuk pembakaran.

Bagi memastikan suhu operasi yang lebih stabil, sistem penyejuk cecair turut ditingkat taraf pada enjin baharu ini. Aspek emisi juga diambil kira, dan Nissan memadankan sistem ekzos baharu yang dibina bersepadu dengan Diesel Particle Filter (DPF), bersama teknologi Selective Catalytic Reduction (SCR), untuk menghasilkan pencemaran gas Nitrogen Oksida (NOx) yang lebih rendah.

Nissan Navara pasaran Eropah terima enjin diesel 2.3L turbo berkembar 190 PS/450 Nm, suspensi dipertingkat

Menurut Nissan, enjin baharu tersebut berfungsi dengan lebih efisien dengan penggunaan bahan api dicatatkan pada 6.9 liter untuk setiap 100 km dalam kitaran gabungan NEDC. Kedua-dua versi berkenaan dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan baharu (pertama kali dipadankan pada Navara pada pasaran global), tetapi khas untuk model Double Cab paling berkuasa, ia turut hadir dengan pilihan transmisi tujuh-kelajuan automatik.

Untuk kotak gear enam-kelajuan manual baharu berkenaan, ia direka dengan jarak pergerakan tuil gear yang lebih pendek, serta memberikan penukaran gear lebih lancar menerusi penggunaan mekanisma kabel baharu. Sistem syncro pada set gear juga direka semua dan secara keseluruhan gegaran pada transmisi ini juga dikurangkan.

Kedudukan gear undur pula telah diubah, kini diletakkan di sebelah kiri gear-1, manakala keseluruhan nisbah gear ditala semula bagi memberikan penggunaan bahan api lebih rendah dan juga lebih senyap dipandu di lebuh raya. Manakala untuk kotak gear auto 7-kelajuan, unit sedia ada masih digunakan tetapi telah diperhalusi supaya ia lebih selesa, lancar dan juga responsif.

Selain itu, sistem suspensi pada Navara tersebut turut mendapat perhatian. Suspensi hadapan telah ditala semula bagi memberikan fungsi stereng yang lebih ringan, selesa dan mudah dikendali dalam kelajuan rendah.

Navara masih menampilkan sistem suspensi 5-link pada bahagian belakang yang membolehkan trak pikap ini menggunakan spring gegelung berbanding spring dedaun seperti trak-trak ladder frame saingannya yang lain. Kini, model asas King Cab juga menerima sistem suspensi yang sama.

Namun talaan untuk suspensi tersebut telah diolah semula. Spring gegelung dengan dua tahap menggantikan spring sebelum ini bagi memberikan postur dan stance yang lebih menarik. Bukan setakat itu, kemampuan mengangkat beban juga kini ditingkatkan pada model kemaskini ini, di mana model King Cab meningkat 55-95 kg (bergantung varian) dari 1,165 kg sebelum ini, dan Double Cab pula meningkat 54-114 kg (bergantung varian) kepada jumlah keseluruhan 1115 kg hingga 1180 kg.

Sistem brek turut diberikan peningkatan di mana diameter rotor hadapan kini meningkat dari 296 mm kepada 320 mm, manakala untuk bahagian belakang brek dram sebelum ini digantikan dengan brek cakera dengan rotor 308 mm. Menurut Nissan, sistem brek baharu ini bukan sahaja memendekkan jarak pemberhentian, ia juga memberikan rasa pedal lebih baik, lebih sukar untuk fade, lebih senyap dan lebih mudah untuk mengekalkan prestasi serta 40% tenaga dapat dikurangkan ketika pemandu menekan pedal brek.

Sistem Intelligent Trailer Sway Assist juga mula diperkenalkan pada Navara ini, bersama sistem-sistem sedia ada seperti Bantuan Mula Mendaki, Kawalan Menurun Bukit, Brek Kecemasan Pintar, dan Monitor Pandangan Sekeliling Pintar.

Pada bahagian kabin, trak pikap ini dipadankan dengan sistem infotaimen NissanConnect, yang menampilkan skrin lebih besar bersaiz lapan-inci, berbanding tujuh-inci sebelum ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required