Mercedes-AMG CLA45 4Matic+ Shooting Brake X118 – 416 hp dan 500 Nm tork, ruang simpanan lebih luas

Mercedes-AMG CLA45 4Matic+ Shooting Brake X118 – 416 hp dan 500 Nm tork, ruang simpanan lebih luas

Barisan model “45” oleh Mercedes-AMG yang dirombak semula kini semakin berkembang dengan pengenalan CLA 45 4Matic+ Shooting Brake, yang menyertai model A 45 dan CLA 45 yang telah didedahkan sebelum ini. Jika anda mahukan sebuah model pantas, tapi dengan lebih ruang, inilah calonnya.

Sama seperti dua model yang dinyatakan tadi, CLA 45 SB ini dikuasakan oleh enjin petrol empat silinder turbo 2.0 liter M139 yang menggantikan enjin M133 sebelum ini. Bergantung kepada tekanan boost pengecas turbo twin scroll tunggalnya, model ini ditawarkan dalam dua variasi kuasa.

Model asas mempunyai boost 1.9 bar dan mampu menghasilkan 387 PS (382 hp) pada 6,500 rpm dan 480 Nm tork dari 4,750 rpm. Model S yang menggunakan lencana CLA 45 S 4Matic+ Shooting Brake pula mempunyai kadar boost 2.1 bar, mampu menghasilkan kuasa 421 PS (416 hp) pada 6,750 rpm dan 500 Nm tork dari 5,000 rpm.

Untuk pecutan 0-100 km/j, model S boleh melengkapkannya dalam masa cuma empat saat, manakala model asas pula 1/10 lebih lambat. Kedua-dua model boleh mencapai laju maksimum 270 km/j, tetapi model asas perlu mendapatkan pakej tambahan AMG Driver’s Package. Jika tidak, ia cuma boleh sampai ke kelajuan 250 km/j.

Seperti yang pernah kami jelaskan sebelum ini, enjin M139 adalah unik untuk model “45”, dan menampilkan crankcase serba aluminium, crankshaft forged steel, piston forged aluminium, silinder yang disalut dengan Nanoslide, injap ekzos lebih besar, kedudukan injector yang dioptimakan, sistem suntikan dua tahap (direct dan port injection), dan penapis pada takung minyak.

Enjin ini juga dipasang dengan pengecas turbo dan manifold ekzos yang berada lebih dekat kepada firewall, manakala bahagian intake pula menghadap ke depan. Tetapan ini memberikan laluan udara yang lebih pendek dan tidak banyak gangguan – kedua-dua untuk bahagian intake dan ekzos.

Untuk sistem penyejukan, pam air mekanikal digunakan untuk menghantar coolant kepada head, sementara untuk crankcase pula ia menggunakan pam air elektronik. Suhu optima ditentukan oleh unit pengawal enjin (ECU).

Enjin ini kemudiannya dipadankan bersama transmisi klac berkembar AMG Speedshift DCT 8G (lapan kelajuan), serta sistem pacuan semua roda boleh ubah AMG Performance 4MATIC+ yang juga datang dengan AMG Torque Control. Dua klac multi-disc elektronik pada gandar belakang pula membahagikan tork antara tayar depan dan belakang, serta kiri dan kanan.

Mercedes-AMG CLA45 4Matic+ Shooting Brake X118 – 416 hp dan 500 Nm tork, ruang simpanan lebih luas

Pada bahagian suspensi, kenderaan ini menggunakan tetapan McPherson di hadapan dan four-link di belakang. Penyerap pasif diberikan secara standard, tetapi pelanggan juga boleh memilih penyerap adaptif AMG Ride Control sebagai tambahan. Stereng menggunakan sistem kuasa elektro-mekanikal yang sensitif kepada kelajuan.

Sistem ini disambungkan kepada pemilih mod pemanduan AMG Dynamic Select, yang boleh ditambah lagi dengan pakej AMG Dynamic Plus untuk model standard (pakej ini datang terus bagi model S). Melalui pakej ini, anda akan mendapat mod Race sebagai tambahan kepada mod Slippery, Comfort, Sport, Sport+ dan Individual yang sedia ada, boleh menggunakan mod Drift untuk berseronok. Sebagai tambahan kepada mod pemanduan ini, terdapat juga AMG Dynamics, yang dapat mengawal dinamik kenderaan melalui empat tahap iaitu Basic, Advanced, Pro dan Master.

Untuk mengurangkan laju kenderaan, CLA 45 SB menggunakan angkup empat piston serta cakera 350 mm di hadapan, manakala di belakang menggunakan angkup terapung satu piston yang mencengkam cakera 330 mm. Angkup itu diwarnakan kelabu dengan tulisan AMG putih. Melalui pakej AMG Dynamic Plus yang dinyatakan awal tadi, breknya adalah angkup enam piston berserta cakera 360 mm di hadapan, dan ia diwarnakan merah berserta logo AMG hitam.

Mercedes-AMG CLA45 4Matic+ Shooting Brake X118 – 416 hp dan 500 Nm tork, ruang simpanan lebih luas

Daripada penampilam, CLA 45 SB mendapat muka yang sama seperti CLA 45, termasuk gril Panamericana, diffuser belakang dan tambahan panel aerodinamik lain melalui pakej tambahan AMG Aerodynamic. Model asas mendapat ekzos bersaiz 82 mm manakala model S menggunakan muncung 90 mm.

Masuk ke dalam, sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) pada model ini mendapat paparan khas untuk model AMG dan roda stereng AMG Performance, sementara untuk model S ia akan datang dengan kemasan berwarna kuning. Tempat duduk dan beberapa bahagian lain dibalut dengan kulit buatan Black Artico dan gentian mikro Dinamica secara standard, tetapi masih ada pilihan tambahan lain sekiranya mahu.

Bagi yang khuatir tentang praktikaliti, anda harus tahu bahawa CLA 45 SB ini mempunyai bukaat but lebih luas, iaitu 871 mm, berbanding 635 mm bagi model sebelumnya, dan ditawarkan dengan pakej Easy Pack dan Hands Free Access. Ruang simpanan itu sendiri mempunyai keluasan 505 liter dan Mercedes memberitahu ia “cukup besar untuk memuatkan barangan rekreasi dan aktiviti luar.”

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required