Jualan pasaran kenderaan sekarang lebih cenderung kepada SUV, dan disebabkan itu, permintaan untuk MPV pula semakin kurang, termasuk di Malaysia. Meskipun begitu bagi Perodua, mereka akan terus menjual Alza bersama dengan Aruz yang menyertai sebagai produk tujuh tempat duduk mereka.

Perkara ini diberitahu oleh pengarah urusan bahagian jualan Perodua, Datuk Zahari Husin dalam satu sidang akhbar yang berlangsung pagi tadi. Tambah beliau, Aruz dan Alza tidak memberi kesan atas nombor jualan masing-masing kerana pembeli MPV masih memilih Alza manakala pembeli SUV dalam segmen ini akan memilih Aruz. Walaupun sudah memasuki facelift kedua, Alza masih mencatat permintaan yang tinggi dengan waktu menunggu antara satu hingga dua bulan.

Perodua Alza dijual bermula pada harga sekitar RM51k untuk model asas 1.5S manual lima kelajuan, dan mencecah sehingga RM63k untuk varian 1.5 Advance automatik empat kelajuan. Kuasa datang daripada enjin petrol 1.5 liter 3SZ-VE dengan DVVT, dan disalurkan kepada roda hadapan.

Sementara itu, Perodua Aruz pula dijual pada harga bermula RM73k untuk varian asas X, dan naik sehingga RM78k untuk AV yang paling tinggi. SUV ini menggunakan enjin petrol 1.5 liter 2NR-VE yang mampu menghasilkan kuasa 101 hp dan 133 Nm tork, dengan gabungan transmisi automatik empat kelajuan dan kuasa yang disampaikan kepada roda belakang.

Pada aspek keselamatan, Alza standard dilengkapi dengan ABS dengan Electonic Brake Force Distribution (EBD) dan Brake Assist, bersama dua beg udara dan cagak Isofix di tempat duduk baris tengah.

Aruz pula secara standard datang dengan Vehicle Stability Control, Hill Start Assist, Hill Descent Control, cagak Isofix untuk tempat duduk baris kedua, perekod video hadapan, Advanced Safety Assist (ASA) 2.0, amaran sebelum perlanggaran dengan pengesan pejalan kaki, brek sebelum perlanggaran dengan pengesan pejalan kaki, amaran pergerakan hadapan dan kawalan pedal sekiranya tersalah tekan.

GALERI: Perodua Alza Advance facelift 2018

GALERI: Perodua Alza SE facelift 2018