SUV lima-tempat duduk Honda CR-V Mugen Edisi Terhad kini mula dijual untuk pasaran Malaysia. Hanya terhad kepada 300 unit, ia berdasarkan varian 1.5L Turbo 2WD dan dijual pada harga RM152,900 bagi warna luaran Passion Red Pearl, atau RM153,300 bagi warna White Orchid Pearl – harga atas jalan tanpa insurans.

Honda CR-V Mugen Concept sebenarnya pernah dipamerkan dua kali di Malaysia sebelum ini, pertama ketika KLIMS 2018 dan kali kedua ketika Malaysia Autoshow 2019. Walaupun dalam penampilan kedua itu model berkenaan menggunakan rim 19-inci MDR dari Mugen, versi yang dijual ini bagaimanapun menggunakan rim 18-inci dari versi standard.

Seperti model konsep berkenaan, bahagian bawah bampar kini juga diberikan warna badan, sama juga pada bahagian bawah bampar belakang. Kemasan gril juga ada perbezaan. Tidak lupa, lencana Mugen turut menghiasi versi ini.

Bahagian dalam pula kekal dengan kemasan warna hitam serta perincian kayu, sama seperti versi stadnard. Sensor parkir empat penjuru dan pengilap cermin automatik juga kekal sama ditawarkan. Lain-lain kelengkapan standard adalah termasuk lampu utama, DRL dan lampu kabus jeins LED, paddle shifter, skrin LCD TFT berwarna, sistem pendingin hawa dua-zon serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

Dari sudut keselamatan, ia hadir dengan enam beg udara, VSA dan bantuan mula mendaki, auto brake hold dan cagak Isofix di belakang. Enjin 1.5 liter turbo berkenaan menghasilkan 193 PS pada 5,600 rpm dan 243 Nm tork dari 2,000 rpm hingga 5,000 rpm yang disalurkan melalui transmisi CVT ke roda depan.