Kia Stinger GT420 – ubah suai untuk kegunaan litar

Kia Stinger GT420 – ubah suai untuk kegunaan litar

Rasanya ramai sudah tahu, hanya tunggu masa sahaja sebelum Kia memperkenalkan versi ubah suai ekstrem untuk kereta sports mereka, iaitu Stinger. Kini, masa itu telah tiba dan Kia mendedahkan Stinger GT420 – sebuah jentera litar yang dibangunkan bersama cabang kejuruteraan mereka di United Kingdom dan Eropah, dengan diketuai oleh bekas jurutera Ford, Tyrone Johnson.

Asas yang digunakan adalah Stinger GT, yang dilengkapi dengan enjin petrol V6 3.3 liter twin turbo, dengan kemampuan 365 hp dan 510 Nm tork. Sudah tentu, kuasa daripada enjin asal ini ditingkatkan lagi sehingga menjadi 428 hp dan 560 Nm, hasil penggunaan palam pencucuh HKS M45il, penapis udara sports K&N dan sistem ekzos empat muncung serba ringan Milltek Sport tanpa catalytic converter.

Untuk sistem penyejukan, transmisi automatiknya dipasang dengan penyejuk enam baris (menggantikan unit empat baris standard) manakala pengawal transmisi telah dikalibrasi semula untuk penukaran gear yang lebih cepat dalam mod Sport dan Sport+.

Disebabkan ini adalah versi kegunaan litar, bahagian dalam juga dikosongkan untuk menjadikannya lebih ringan. Bermakna, tiada lagi barangan asal seperti tempat duduk, tali pinggang, sistem bunyi, pelindung bawah enjin dan badan, pengesan jarak, penyerap bonet dan but, serta motor cermin belakang, manakala cermin belakang pula dilekatkan terus kepada rangkanya. Bumbung suria pula diganti dengan panel besi dengan struktur honeycomb.

Selepas dipasang dengan roll cage, tempat duduk lumba Sparco berserta tali pinggang khas, pemadam api dan bateri LiPo Lite Blox, kereta ini masih dapat mencatat berat kurang sebanyak 150 kg berbanding asal. Kemudiannya, ia juga dipasang dengan rim Leggera OZ Racing yang dibalut tayar Pirelli Trofeo R, angkup brek Brembo enam piston, cakera 380 mm, pad brek Endless serta crossmember hadapan yang diubah suai untuk meningkatkan sudut camber kepada -2.5 darjah.

Pada roda belakang, brek standard Stinger GT masih lagi dikekalkan, tetapi semua roda diberikan penyalur udara sebagai sistem penyejuk. Penyerap hentak jenis adaptif asal Stinger GT kini diganti dengan penyerap biasa, dan dipadankan bersama spring Eibach Pro serta anti-roll bar 25 mm di hadapan dan 17 mm di belakang.

Kia Stinger GT420 – ubah suai untuk kegunaan litar

Sistem keselamatan elektronik seperti ABS, kawalan cengkaman dan ESC pada kereta ini juga telah dilaras semula untuk kegunaan dalam litar, dan Kia memberitahu Stinger GT420 lebih mudah melakukan drift, terutamanya dalam mod Sport+ dengan kawalan cengkaman dan ESC ditutup sepenuhnya.

Akhir sekali, untuk menjadikan penampilannya lebih garang, GT420 dipasang dengan splitter hadapan, diffuser belakang serta spoiler belakang daripada Air Design. Pelengkapnya adalah grafik dua tona merah dan putih.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required