Proton X70 kini menjadi tambahan model terbaru keluaran Proton yang mula dijual di Brunei. Dengan kerjasama pengedar di sana, PAD Motors, Brunei menjadi pasaran eksport pertama bagi X70, dengan melibatkan penawaran tiga varian di sana.

Ia dijual pada harga B$32,500 (RM98,028) bagi varian Standard 2WD, sementera varian pertengahan Executive 2WD dijual pada harga B$36,000 (RM108,585). Varian paling lengkap, Premium 2WD pula ditawarkan pada harga B$39,000 (RM117,634). Semua ini termasuk jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan, serta upah buruh percuma bagi lima kali servis.

Semua varian menggunakan enjin 1.8 liter turbocas, empat-silinder, suntikan terus petrol dengan janaan kuasa 181 hp dan 285 Nm tork. Ini digandingkan pula bersama transmisi automatik enam-kelajuan ke roda hadapan.

X70 di Brunei turut menerima sistem Geely Smart Ecosystem (GKUI), dengan ciri skrin sentuh TFT LCD lapan-inci, sambungan Mirrorlink bagi telefon Android dan arahan suara untuk pengaktifan “Hi Proton.” Kelengkapan keselamatan pula terdiri daripada enam-beg udara, Isofix, ABS, EBD, Brake Assist, Auto Brake Hold, ESC, kawalan cengkaman, Hill Hold Assist dan kawalan menuruni curam.

Tambahan ciri bagi barian Executive dan Premium adalah seperti ciri tinjauan sekeliling dan Advanced Driver Assist Systems (ADAS). Ini termasuk Automatic Emergency Brake (AEB), Front Collision Warning (FCW), Adaptive Cruise Control (ACC), Lane Departure Warning (LDW), Blind Spot Information System (BLIS), Door Opening Warning System (DOW) dan Intelligent High Beam Control (IHBC). Dengan permulaan langkah eksport X70 ke Brunei ini, SUV berkenaan dijangka akan menembusi pasaran Indonesia pula.