CEO Tesla Motors, Elon Musk sekali lagi telah menggunakan akaun Twitter beliau untuk mendedahkan perancangan masa hadapan syarikat itu. Kali ini, beliau memaklumkan, sebuah trak pikap elektrik sepenuhnya yang dibangunkan Tesla akan diperkenalkan dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi. “Kami semakin hampir, tetapi magis ada pada perincian terakhir. Mungkin 2-3 bulan lagi,” ujarnya menjawab satu pertanyaan dilaman itu.

Musk juga menyatakan bahawa trak pikap berkenaan akan dijual bermula dari harga di bawah US$50,000 (RM208k), dan disifatkan bakal memintas kedudukan kenderaan terlaris segmen berkenaan ketika ini, Ford F-Series.

“Ia akan kelihatan sangat futuristik, seperti kenderaan dalam sci-fi. Untuk itu, ia bukan untuk semua orang. Ia akan menjadi sebuah trak yang mempunyai kemampuan dan keupayaan melebihi trak lain. Matlamatnya ialah untuk menjadi trak yang lebih baik dari F-150 dari sudut fungsinya, dan dalam masa yang sama menjadi kereta sports yang lebih baik daripada standard [Porsche] 911,” jelasnya dalam satu podcast baru-baru ini.


Trak pikap Tesla seperti dibayangkan oleh Theophilus Chin

Untuk menyokong dakwaannya, Musk juga memaklumkan bahawa trak pikap berkenaan aan menggunakan sistem pacuan semua roda dengan motor-berkembar sebagai ciri standard, termasuk suspensi yang boleh dilaras dengan dinamik untuk bebanan dan “tork yang gila”. Ia turut akan menampilkan outlet kuasa heavy-duty, alatan kuasa 240-volt dan mampu mencapai jarak perjalanan sehingga 805 km atau lebih.

Musk juga mengumumkan yang trak pikap berkenaan mempunyai kapasiti tunda sebanyak 136,078 kg, walaupun ketika ini perkara itu belum tentu dapat dicapai. Apa pun, nampaknya trak pikap Tesla yang pernah dibualkan sebelum ini akan menjadi kenyataan. Macam mana agaknya rupa trak ini nanti?