Selepas pengenalan Pagani Huayra Roadster dan BC dalam tempoh beberapa tahun lepas, kita cuma menunggu masa sebelum pengeluar kereta prestasi mewah dari Itali menggabungkan kedua-duanya. Masanya telah tiba dan mereka memperkenalkan Huayra Roadster BC, yang menggabungkan prestasi seperti BC dengan badan jenis bumbung terbuka seperti Roadster.
Sudah tentu, menjadikannya lebih ganas, Pagani telah meningkatkan kuasa yang datang daripada enjin Mercedes-AMG 6.0 liter twin turbo pada model ini sebanyak 40 hp lagi, menjadikan keseluruhannya 791 hp pada 5,900 rpm dan 1,050 Nm tork dari 2,000 hingga 5,600 rpm. Kesemua kuasa ini disalurkan kepada roda belakang melalui kotak gear sequential tujuh kelajuan Xtrac, yang didakwa oleh Pagani sebagai 35% lebih ringan berbanding unit klac berkembar yang digunakan oleh pesaingnya.
Bagi kereta seperti ini, berat sememangnya memainkan peranan penting, dan Pagani telah berusaha keras untuk mengurangkannya lagi. Casis monocoque padanya menggunakan banyak bahan komposit seperti carbo-titanium HP62 G2 dan carbo-triax HP62 yang bukan sahaja sangat ringan malah juga sangat kuat. Hasilnya, Huayra Roadster BC cuma mencatat berat 1,250 kg, iaitu cuma 32 kg lebih berbanding BC Coupe walaupun ia perlu memuatkan kelengkapan untuk bumbung boleh buka tersebut.
Bahagian suspensi terdiri daripada double wishbone aluminium forged dengan penyerap elektronik, manakala rim aloi forged APP pula kini menggunakan saiz 20 inci di hadapan dan 21 inci di belakang (dibalut tayar Pirelli P Zero Trofeo R). Dengan kelengkapan ini, Roadster BC boleh mencatat tarikan sehingga 1.9G di selekoh. Kuasa henti datang daripada brek Brembo dengan cakera karbon seramik dan angkup enam piston di hadapan, dan angkup empat piston di belakang.
Sama seperti BC, pakej aerodinamik model Roadster ini juga telah diubah suai, dengan dipasang pelbagai splitter, skup udara dan sayap yang besar di belakangnya. Menurut Pagani, pada kelajuan 280 km/j reka bentuk ini dapat memberikan daya tolak ke bawah (downforce) sehingga 500 kg. Hanya 40 unit Roadster BC akan dikeluarkan, dan ia dijual pada harga 3,085,000 euro (RM11.1 juta) sebelum cukai.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.