Yamaha Y15ZR dan NVX 155 versi Doxou tiba di Malaysia – harga dari RM8,868, diberi kit edisi terhad

Hari ini semasa acara Karnival Gen Blu di MAEPS, Serdang, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) telah melancarkan satu versi baru untuk Y15ZR dan NVX 155 yang dikenali sebagai Doxou. Dua model ini boleh didapati bermula pertengahan bulan Ogos ini, dengan harga RM8,868 untuk Y15ZR Doxou, manakala untuk NVX 155 Doxou harganya masih belum disiarkan.

Peminat dua motosikal ini tentu sudah kenal dengan versi Doxou kerana ia sudah dilancarkan sebelum ini di Vietnam dan juga Indonesia awal tahun lalu. Malah, di Malaysia sendiri ramai yang sudah menggunakan kit badan Doxou kerana ada penjual yang membawanya dari dua negara tersebut (kit tiruan juga sudah ada).

Keistimewaan model Doxou adalah ia menggunakan grafik warna utama biru matte yang diserikan lagi dengan warna seperti tembaga kemerahan. Lebih unik, rimnya juga berlainan warna iaitu biru muda di belakang dan hitam dengan jalur biru di hadapan. Kemudiannya terdapat beberapa jalur dan tulisan Doxou itu sendiri pada badan motosikal. Selain daripada itu, bahagian mekanikal dua model ini masih lagi sama dengan Y15ZR dan NVX155 standard.

Selain daripada penampilan, tiada yang berubah bagi model Doxou ini, dengan Y15ZR dikuasakan oleh enjin satu silinder SOHC penyejukan cecair 150 cc berkuasa 15.4 PS pada 8,500 rpm dan 13.8 Nm tork pada 7,000 rpm, digandingkan dengan kotak gear lima kelajuan. NVX 155 pula menggunakan enjin 155 cc, silinder tunggal dengan janaan kuasa sebanyak 14.8 hp pada 8,000 rpm dan 14.4 Nm tork pada 6,000rpmyang dipadankan bersama kotak gear CVT.

Selain motosikal itu sendiri, HLYM turut melancarkan barisan pakaian dan aksesori Doxou untuk jualan di pasaran Malaysia, sementara mereka yang membeli Y15ZR dan NVX 155 Doxou ini pula akan menerima set hadiah istimewa yang terdiri daripada fon kepala, rantai kunci serta sijil pemilikan khas. Jaminan datang untuk tempoh dua tahun atau 20,000 km.

GALERI: Yamaha Y15ZR Doxou

GALERI: Yamaha NVX 155 Doxou