Ada cadangan untuk menjadikan Cyberjaya kembali dijadikan tempat ujian bagi ciptaan teknologi terkini, termasuk kereta terbang, lapor New Straits Times. Menurut Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, ini akan memberikan ruang untuk sebarang ujian lapangan dan penilaian yang berkaitan.
“Jika ada mana-mana pihak yang ingin membangunkan “kereta terbang”, kita kini mempunyai ruang dan lokasi untuk menjalankan ujian,” jelas beliau. Redzuan berkata, idea berkenaan diusulkan oleh Majlis Pembangunan Negara dan menerima sokongan daripada Perdana Menteri, Tun Mahathir.
Ketika idea berkaitan “kereta terbang” ini mula muncul, ramai yang memandang serong terhadap projek ini, terutama di media sosial; ramai yang menyuarakan keraguan mereka terhadap hal ini. Redzuan ketika itu menjawab, rakyat Malaysia hanya ada dua pilihan, untuk bergerak maju ke depan ataupun ketinggalan.
Ketika saya ke Jepun tahun lalu, saya tanyakan kepada seorang menteri mereka tentang apa yang akan mereka pamerkan ketika Osaka World Expo 2025. Mereka maklumkan, mereka sedang membuat sebuah pulau buatan manusia untuk mempamerkan teknologi yang ada. Satu daripadanya ialah berkaitan “Internet of Things”, bukan berkenaan kaji selidik sebaliknya tentang menjadikan teknologi lebih komersial,” jelas beliau.
“Satu daripada teknologi berkenaan ialah “teksi terbang”, yang saya bayangkan akan membawa orang terbang dari Lapangan terbang Osaka ke pulau berkenaan. Ketika kita masih berdebat tentang “kereta terbang” dan menjadikannya sebuah jenaka, negara lain sedang bergerak ke hadapan dan melakukannya,” tambah beliau.
Ketika ditanya apa perkembangan terkini prototaip “kereta terbang” kita, Redzuan memaklumkan projek berkenaan sudah 75% selesai. Bagaimanapun gambar kenderaan itu masih belum boleh didedahkan kepada umum untuk menghormati permintaan rakan niaga dari Jepun yang terlibat dalam projek berkenaan, yang juga akan memperkenalkan sebuah air mobility vehicle (AMV). Prototaip berkenaan, Vector ketika ini sedang dibangunkan oleh syarikat Malaysia, Aerodyne Group dengan kerjasama rakan kongsi dari Jepun.