Maruti Suzuki telah melancarkan model XL6 baharu di India. Dibina berdasarkan Suzuki Ertiga generasi kedua, XL6 memilih penggayaan ala-SUV, yang merupakan trend terkini bagi kebanyakan model MPV.

Bagi menampakkan sedikit kelainan berbanding Ertiga standard, XL6 ini direka dengan rekaan yang lebih rugged. Ini termasuklah wajah yang lebih unik, didominasi dengan gril yang lebih menyerlah bersama palang krom yang tebal merentasi logo “S”. Kluster lampu utama LED juga berfungsi sebagai pencahayaan lampu nyalaan siang.

Selain itu, rekaan bagi hud dan bampar juga nampak unik, yang disambungkan ke skid plate berwarna perak dengan lampu kabus yang dilingkari marterial plastik berona hitam. Lapisan yang sama juga kelihatan pada profil sisi bersama dengan gerbang roda. Roda aloi pelbagai-jejari 15-inci dan perumah cermin sisi berwarna hitam turut melengkap gaya. Lebih menampakkan sentuhan bergayanya dengan kehadiran rel bumbung dan juga kepingan kecil untuk kemasan pada A-pillar.

Bahagian belakang XL6 ini pula lebih mirip dengan Ertiga, walau bagaimana pun kluster lampu belakang berbentuk-L pula bagai diinspirasi dari rekaan Volvo. Set lampu tersebut bukan sahaja disambungkan pada jaluran krom, bahkan ia diserikan dengan panel hitam yang menjadi perumah bagi logo Suzuki. Rekaan bampar belakang juga unik, dengan reflektor menegak di hujungnya.

Jika luaran XL6 ini nampak rugged, sifat dalamannya pula memberikan sentuhan yang lebih sofistikated. Untuk kenderaan ini, ia turut dilengkapi dengan enam-tempat duduk, dan Suzuki pula telah menggantikan bangku pada tempat duduk ketiga di barisan kedua dengan dua tempat duduk kapten. Ia boleh disambung atau dipisahkan dengan hanya satu-sentuhan, bagi memberikan kemudahan akses untuk ke barisan ketiga.

Bagi tema kabinnya, ia memilih rona hitam (berbanding beige untuk Ertiga di India) dengan upholsteri kulit bersama sentuhan “Premium Stone” dan serlahan perak. Ciri lain yang terdapat dalam ruang dalaman termasuklah pemegang cawan dengan pengudaraan, overhead console, soket aksesori untuk setiap barisan tempat duduk dan juga corong pendingin hawa di belakang.

Selain itu, XL6 turut dilengkapi dengan infotainmen Maruti Suzuki SmartPlay Studio yang terdiri daripada skrin sesentuh 7.0-inci dengan ketersambungan Android Auto dan Apple CarPlay, pendingin hawa auto, kemasukan tanpa kunci dengan butang push/start dan kawalan kelajuan. Itu untuk varian Zeta. Manakala varian tertinggi Alpha pula menerima ciri tambahan termasuk lampu utama auto dan kamera undur. Kit keselamatan termasuklah ABS/EBD, dua beg udara dan ESP dengan bantuan mula mendaki untuk varian transmisi automatik.

XL6 dijanakan oleh enjin yang sama dengan Ertiga iaitu unit K15 petrol 1.5 liter naturally-aspirated yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 105 hp/138 Nm, dengan teknologi hibrid sederhana Progressive Smart Hybrid bersama bateri lithium-ion. Pembeli boleh memilih sama ada kotak gear manual lima-kelajuan atau pun automatik empat-kelajuan.

Suzuki XL6 ini ditawarkan pada harga bermula Rs 9.80 lakh (RM57,035) untuk Zeta MT hingga Rs 11.46 lakh (RM66,695) bagi Alpha AT di India.

GALERI: Suzuki Ertiga generasi kedua di Indonesia