BMW X6 Vantablack – hitam yang paling hitam di dunia

BMW X6 Vantablack – hitam yang paling hitam di dunia

Apakah perkara pertama yang terlintas di fikiran anda bila melihat kenderaan ini? Ia gambar yang dimanipulasi? Skrin anda ada masalah? Sebenarnya tidak. Ini adalah BMW X6 Vantablack, yang menggunakan bahan istimewa Vantablack dicipta oleh Surrey NanoSystems. Model ini nanti akan dibawa ke Frankfurt Motor Show 2019.

Hitam yang anda lihat pada kenderaan ini dipanggil sebagai hitam yang paling hitam di dunia, di mana bahan warna tersebut menyerap 99.96% cahaya, seterusnya memberikan penampilan dua dimensi seperti kita melihat ke dalam lubang hitam gelap gelita. Varian VBx2 daripada bahan ini sebenarnya dibangunkan untuk kegunaan bangunan dan benda saintifik lain, dan ia boleh disemburkan pada permukaan untuk menghasilkan satu lapisan baru.

BMW X6 G06 yang dilihat dalam gambar ini adalah satu-satunya kenderaan dalam dunia yang menggunakan cat Vantablack VBx2, dan beberapa bahagian lain menjadi lebih menyerlah seperti gril kidney Iconic Glow serta sistem lampu asalnya.

Vantablack generasi pertama sebenarnya sudah diperkenalkan pada tahun 2014, dan kewujudannya pernah menjadi tular. Lima huruf pertama pada namanya membawa maksud Vertically Aligned Nano Tube Array iaitu matriks yang diperbuat daripada karbon.

Setiap tiub nano karbon ini mempunyai panjang 14 hingga 50 mikrometer, dengan diameter 20 nanometer, menjadikan ia 5,000 kali ganda lebih nipis daripada rambut manusia. Apabila disusun secara menegak, sekitar satu bilion tiub nano boleh mengisi ruang satu sentimeter persegi, dengan hampir keseluruhan cahaya yang kena pada permukaan ini akan diserap dan ditukarkan kepada haba.

Teknologi ini asalnya juga dibangunkan untuk digunakan pada komponen untuk angkasa, memandangkan bahagian yang disalut dengannya tidak akan memantulkan kembali cahaya terang daripada matahari, seterusnya memudahkan pemerhatian kepada bahagian lain di angkasa.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required