Mercedes-Benz GLE Coupe C167 – badan direka semula, varian GLE 53 mampu hasilkan hingga 429 hp

Mercedes-Benz GLE Coupe C167 – badan direka semula, varian GLE 53 mampu hasilkan hingga 429 hp

Sebelum membuat penampilan pertama di khalayak ramai waktu Frankfurt Motor Show bulan hadapan, Mercedes-Benz telah mendedahkan lebih awal GLE Coupe C167 serba baru. Ia telah direka semula sepenuhnya, dan sekarang duduk atas platform Modular High Architecture (MHA) yang sama seperti GLE baru.

SUV ini akan tiba di wakil pengedar Mercedes-Benz di Jerman tahun depan, dalam dua varian iaitu GLE 350 d 4Matic Coupe dan GLE 400 d 4Matic Coupe sebagai permulaan. Ia juga kemudiannya akan disertai oleh versi petrol yang fokus lebih kepada prestasi iaitu Mercedes-AMG GLE 53 4Matic+ Coupe.

Selain daripada itu, beberapa lagi model petrol yang lebih ringkas akan menyusul, dan pengeluar dari Jerman itu turut menyatakan mereka sedang menyiapkan penjana plug-in hybrid untuk GLE, yang berkemungkinan bakal digunakan juga pada GLE Coupe.

Mercedes-Benz GLE Coupe C167 – badan direka semula, varian GLE 53 mampu hasilkan hingga 429 hp

Kedua-dua varian diesel GLE Coupe menggunakan enjin enam silinder sebaris 3.0 liter turbo OM656, yang dipadankan bersama transmisi 9G-Tronic sembilan kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Matic. Pada 350d, enjin ini berkemampuan 272 PS (268 hp) dan 600 Nm tork manakala pada 400 d ia mampu menghasilkan 330 PS (326 hp) and 700 Nm.

Dalam keadaan standard, GLE Coupe datang dengan suspensi biasa, tetapi ia boleh dinaik taraf kepada suspensi udara Airmatic. Selain daripada itu, Mercedes-Benz juga menyediakan pilihan naik taraf E-Active Body Control yang menggunakan sistem elektrikal 48 volt, dan membenarkan pelarasan spring serta penyerap pada semua roda.

Badan GLE Coupe yang direka semula ini mempunyai panjang 4,939 mm (+39 mm), lebar 2,010 mm (-7 mm) dan tinggi 1,737 mm (+18 mm). Kemudiannya, walaupun jarak roda telah bertambah 20 mm menjadi 2,935 mm, ia masih lagi kurang 60 mm berbanding GLE.

Mercedes-Benz GLE Coupe C167 – badan direka semula, varian GLE 53 mampu hasilkan hingga 429 hp

Daripada aspek rekaan, garisan bumbung seperti coupe masih lagi dikekalkan, tetapi cermin hadapan dijadikan lebih rata supaya nampak lebih dinamik. Bahagian hadapan menyerupai GLE dengan gril radiator diamond yang mempunyai satu jalur melintang, dan diapit oleh lampu utama LED penuh yang lebih bersudut dan mempunyai DRL di dalamnya. Model yang menggunakan pakej AMG Line seperti dalam gambar mendapat bukaan udara lebih lebar dan bintik pada gril berwarna krom.

Dari tepi, anda boleh melihat kemasan keliling lengkuk roda diwarnakan sama dengan badan bagi versi AMG Line, tetapi dalam keadaan standard ia sebenarnya berwarna hitam. Pilihan rim pula disediakan dari yang bersaiz 19 inci hingga 22 inci.

Pada bahagian belakang, garis bahu model ini nampak lebih jelas, manakala lampu barunya menggunakan grafik yang lebih unik, seperti SUV lain Mercedes-Benz termasuk GLE dan GLC. Bahagian bampar juga adalah baru dengan lekuk yang pergi sehingga ke tepi, pelindung bawah krom serta dua muncung ekzos bersepadu.

Mercedes-Benz GLE Coupe C167 – badan direka semula, varian GLE 53 mampu hasilkan hingga 429 hp

Masuk ke dalam, GLE Coupe menggunakan rekaan yang sama seperti GLE termasuklah papan pemuka dari atas hingga ke bawah. Paling menonjol sudah tentu adalah Widescreen Cockpit yang terdiri daripada dua skrin 12.3 inci dengan sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX), yang sekarang sudah mempunyai ciri servis streaming muzik Amazon secara terus, serta beberapa fungsi lain seperti kawalan suara dan pelbagai sambungan.

Badan GLE Coupe yang direka semula ini turut meningkatkan keluasannya, di mana Mercedes-Benz mendakwa bukaan pintunya bertambah 35 mm, manakala ruang barangan pula bertambah 60 liter apabila semua tempat duduk dibaringkan, menjadi 1,790 liter secara keseluruhan. Apabila tegak, ruang yang disediakan adalah 655 liter. Bukaan untuk melihat luar kenderaan turut diperbaiki dan panel bumbung boleh buka menjadi lebih besar (pilihan tambahan).

Versi AMG bagi GLE Coupe ini mendapat pakej kuasa sama seperti GLE iaitu terdiri daripada enjin enam silinder petrol turbo 3.0 liter, transmisi automatik sembilan kelajuan AMG Speedshift TCT 9G, sistem pacuan semua roda 4Matic serta sistem elektrikal 48-volt yang disambung dengan unit EQ Boost starter-alternator.

Sistem ini menambah 22 PS (21 hp) dan 250 Nm tork lagi untuk tempoh yang pendek, dan menjadikan keseluruhan kuasanya menjadi 435 PS (429 hp) dan 520 Nm tork. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 5.3 saat, sebelum mencapai laju maksimum 250 km/j.

Untuk memberikan padanan dengan kuasa ini, GLE 53 Coupe turut didatangkan dengan AMG Dynamic Select (berserta AMG Dynamics) dan sistem suspensi udara AMG Ride Control+ dengan penstabil olengan serta lima mod iaitu Comfort, Sport, Sport+, Trail dan Sand. Kuasa membrek datang daripada cakera 400 mm serta angkup dua piston di hadapan dan cakera 345 mm dan angkup satu piston di belakang.

Antara ciri visual yang unik bagi model AMG ini adalah gril hadapan Panamericana dengan lambang Mercedes-Benz yang mempunyai dua bulatan serta diffuser belakang dengan empat muncung ekzos. Bahagian dalam pula mendapat kemasan kontras warna merah, beberapa bahagian yang dibuat daripada gentian karbon dan roda stereng AMG Performance. Sistem MBUX pada model ini turut mendapat paparan khas AMG serta AMG Track Pace.

GALERI: Mercedes-Benz GLE Coupe C167

GALERI: Mercedes-AMG GLE 53 4Matic+ Coupe C167

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required