Ingat lagi dengan Hyundai i10? Untuk model generasi ketiga yang akan ditunjukkan secara rasmi di Frankfurt minggu depan, i10 hadir dengan penampilan dan semangat baru yang sangat berbeza. Wajah baru, pilihan kotak gear berbeza tetapi dengan enjin yang sama seperti sebelum ini.

Sedikit sebanyak reka bentuknya pernah dilihat pada Gran i10 Nios yang didedahkan dahulu untuk pasaran India. Ia tampil dengan rekaan gril baru yang menonjol, lengkap dengan lampu nyalaan siang tetapi masih menggunakan lampu utama projektor serta bukaan udara kecil dengan lampu kabus.

Dilihat dari sisi, i10 terbaru ini lebih berisi, dengan lengkuk tayar yang ketara. Garis lengkung pada tingkap juga membuatkan kereta kompak ini kelihatan sedikit panjang. Warna bumbung pula berbeza daripada warna badan, sama ada merah atau hitam dan tak ada landasan pada bumbung. Bahagian belakang kereta ini juga menampilkan rekaan menarik dan moden.

Ruang dalaman sama seperti versi Nios. Antaranya ia hadir dengan skrin sentuh infotainmen lapan-inci yang bersekali dengan kluster instrumen. Papan pemuka pula hadir dengan corak haneycomb yang digunakan juga pada bahagian panel yang lain. Dari segi dimensi, i10 baru ini 20 mm lebih lebar dan rendah dari yang lama disebabkan pertambahan pada jarak antara roda. Ruang barangan yang tersedia pula ialah 252 liter; bukaan pintunya juga lebih luas untuk lebih mudah memasukkan barangan besar.

Ciri dan kelengkapan baru yang ditambah adalah seperti Apple CarPlay dan Android Auto, pengecas tanpa wayar dan pilihan untuk telematik BlueLink Hyundai. Dari segi ciri keselamatan, i10 baru ini menerima ciri brek autonomous dengan pengesan pejalan kaki, amaran perhatian pemandu serta pengesan papan tanda dan lampu tinggi automatik.

Piliha enjin pula ialah unit 1.0 liter tiga-silinder (67 PS/96 Nm) dan juga unit 1.2 liter empat-silinder (84 PS/118 Nm) – dengan ciri Start/Stop. Kotak gear manual lima-kelajuan masih dikekalkan, tetapi transmisi automatik empat-kelajuan akan digantikan dengan versi lima-kelajuan yang lebih ringan dan kurang geseran komponen.