Baru sahaja Hyundai Eropah mendedahkan illustrasi Hyundai i10 generasi baharu sebagai teaser sebelum kemunculannya, namun di India hatchback kompak tersebut telah pun didedahkan dengan gambar rasmi pertama serta sedikit perincian awalan.

Pasaran India menerima model yang digelar sebagai Hyundai Grand i10 Nios – ‘Grand’ bermaksud ia adalah dari versi dengan jarak roda lebih panjang dari model pasaran Eropah, dan ia hanya ekslusif untuk pasaran rantau Asia Selatan.

Walaupun model sebenar yang muncul ini tidak segarang seperti dalam ilustrasi, tetapi ia masih menampilkan rupa yang sangat sporty, berbeza dengan model-model hatchback segmen-A lain.

Pada bahagian muka, kereta comel ini tetap menerima perincian sama seperti abang besarnya iaitu Sonata – diberikan gril Cascading bersama lampu nyalaan siang LED berbentuk anak panah, kemasan perumah lampu kabus berbentuk segi tiga bersama liang yang mengalirkan udara terus ke ruang roda hadapan, serta penutup bonet enjin yang direka lebih ‘berotot’.

Garis badan ‘berotot’ turut diberikan pada setiap ruang roda, manakala tiang-C diberikan kemasan berwarna hitam dengan logo G-i10 bagi memberikan ilusi seolah-olah bumbungnya terapung. Grand i10 Nios turut diberikan rel bumbung yang membuatkan ia sedikit kelihatan seperti sebuah SUV.

Kabin i10 generasi baharu ini turut menerima rekaan seiring imej terkini Hyundai dengan papan pemuka yang direka lebih elemen melintang. Liang pendingin hawa tengah direka nipis, dan skrin infotaimen berada di atas, sementara suis kawalan berada di bawahnya. Namun untuk liang bahagian sisi, ia direka bulat.

Menerusi gambar pertama yang didedahkan ini juga dapat dilihat bahawa Hyundai turut menawarkan bahagian kabin dengan tema dua tona gabungan warna kelabu dan putih pada papan pemuka dan panel dalaman pintu.

Menurut Hyundai, i10 pasaran Eropah akan menerima sistem infotainmen dengan hubungan telefon pintar Blue Link serta menyokong Apple CarPlay dan Android auto.

Ia turut akan hadir dengan pengecas telefon pintar tanpa wayar, kamera undur, dan fungsi bantuan pemanduan seperti Brek Kecemasan Automatik, Amaran Tumpuan Pemandu, Bantuan Kekal Lorong, dan juga lampu tinggi automatik – kesemua fungsi ini mungkin disemak semula untuk pasaran India.

Hyundai i10 generasi baharu ini dijangka masih akan dijana oleh barisan enjin yang sama seperti sebelum ini, termasuk enjin petrol tiga-silinder 1.0 liter berkuasa 66 PS/94 Nm, dan unit lebih besar 1.25 liter empat-silinder berkuasa 87/120 Nm.

Sebagai model untuk pasaran India, Grand i10 Nios turut berkemungkinan menerima enjin turbodiesel 1.1 liter tiga-silinder. Manakala khas untuk pasaran Eropah, model ini mungkin akan hadir dengan enjin petrol turbo 1.0 liter tiga-silinder berkuasa 100 PS/172 Nm sama seperti Kia Picanto.