Seperti yang kami laporkan semalam, Mazda CX-5 2019 telah pun dibuka tempahannya mulai hari ini. Malah ia juga telah mula dipertontonkan, ini termasuklah untuk varian pengecas turbo yang dikenali sebagai 2.0L Turbo AWD seperti dalam foto ini. Buat masa ini, tiada pengumuman rasmi mengenai harganya, tetapi kami dimaklumkan model SUV ini akan kekal sebagai unit pemasangan tempatan (CKD) dan akan ditampilkan dengan lima varian dalam barisan CX-5.

Semestinya varian 2.5L Turbo AWD menjadi tumpuan kali ini. Kuasanya dijanakan oleh enjin 2.5 liter turbo empat-silinder SkyActiv-G berkuasa 230 PS pada takat 4,250 rpm dan tork maksima 420 Nm bermula 2,000 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan SkyActiv-Drive, bersama sistem pacuan semua-roda i-Activ.

Bagi kelengkapannya, ia didatangkan dengan roda 19-inci (bersama tayar 225/55), unit LED untuk lampu utama dan lampu belakang (sebelum ini dengan lampu nyalaan siang LED), kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, brek parkir elektronik (dengan fungsi penahan auto), material kulit uphosteri, dan tempat duduk pemandu dengan larasan berkuasa dan fungsi memori bagi ketetapan larasan.

Malah ia turut didatangkan dengan suis kawalan baharu untuk pendingin hawa – masih dengan sistem dwi-zon bersama corong udara di belakang – paparan kluster instrumen digital tujuh-inci dengan dail analog (seperti Mazda 3 baharu), serta paparan head-up yang dipancarkan ke cermin hadapan. Untuk infotainmen, sistem Mazda Connect kini turut disokong dengan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto.

Untuk aspek keselamatan, varian 2.5L Turbo AWD dilengkapi enam beg udara (hadapan, sisi dan tirai), Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Bantuan Mula Mendaki (HLA), ABS, EBD, Pemantauan Titik Buta (BSM) dan Sistem Amaran Ketibaan Lorong (LDWS).

Menurut jurujual yang bertugas di pameran Mazda di Sunway Pyramid di mana model ini dipertontonkan, varian CX-5 petrol lain yang akan ditawarkan termasuklah 2.0 2WD GL, 2.0 2WD GLS dan unit tanpa-turbo 2.5L 2WD GLS. Sementara varian diesel pula tinggal 2.2D 2WD GLS, manakala versi pacuan semua-roda telah digugurkan.

Spesifikasi untuk varian lain masih belum didedahkan, namun dijangka akan lebih kurang sama dengan apa yang ditawarkan sebelum ini, cuma mungkin ada penambahan sedikit. Kami akan membawakan lebih banyak informasi mengenai CX-5 2019 apabila ia dilancarkan kelak, jadi harap bersabar.