Di Frankfurt, Mercedes-Benz turut mempamerkan SUV kompak tujuh-tempat duduk terbaru, model GLB X247. Yang sedang anda lihat ini adalah dua varian model berkenaan; GLB 200 dan AMG GLB 35 4Matic.

Dengan saiz yang sedikit lebih besar berbanding model GLA, GLB ini merupakan kereta kompak pertama pengeluarnya yang hadir dengan tujuh-tempat duduk. Ia mempunyai dimensi 4,634 mm panjang, 1,834 mm lebar dan 1,658 mm (1,662 mm bagi versi tujuh-tempat duduk) tinggi, sementara jarak antara roda pula ialah 2,829 mm panjang – ia 100 mm lebih panjang berbanding B-Class terbaru.

Pilihan untuk enjin pula terdirid aripada unit yang diambil dari Renault, 1.33 liter M282 tubocas empat-silinder petrol pada GLB 200, menghasilkan sebanyak 163 hp pada 5,500 rpm dan 250 Nm tork dari 1,600 rpm hingga 4,200 rpm. Ia dipadankan dengan kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan dari Getrag, membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 9.1 saat serta kelajuan maksimum 207 km/j. Penggunaan petrol didakwa sekitar 6.0 ke 6.1 liter bagi 100 km.

GLB 250 pula menggunakan enjin 2.0 liter M260 dengan janaan 224 hp pada 5,800 rpm dan 350 Nm dari 1,800 hingga 4,000 rpm. Dengan transmisi baru Mercedes 8G-DCT lapan-kelajuan, ia boleh mencecah 100 km/j dalam masa 6.9 saat dan laju maksimum 236 km/j. Penggunaan minyak pula pada kadar 7.2 hingga 7.4 liter bagi setiap 100 km.

Varian paling tinggi setakat ini, AMG GLB 35 4Matic pula menggunakan enjin 2.0 liter turbocas empat-silinder petrol dengan janaan 306 PS dari 5,800 hingga 6,100 rpm dan 400 Nm tork dari 3,000 hingga 4,000 rpm. Sistem pacuan AMG Performance 4Matic AWD juga dihadirkan sekali. Tetapi, tidak seperti model AMG 35 yang lain, GLB 35 ini menggunakan transmisi AMG Speedshift DCT lapan-kelajuan dan bukannya versi tujuh-kelajuan.

Dari sudut prestasi, AMG GLB 35 memecut 0-100 km/j dalam masa 5.2 saat, sebelum tiba kepada kelajuan maksimum yang dihadkan secara elektronik pada 250 km/j. Purata penggunaan minyak ialah sekitar 7.5 liter bagi 100 km mengikut peraturan NEDC.

Dari sudut rekaan, SUV ini tampil dalam rekaan bersegi, dengan garis bahu di tepi menjadikannya tampak lebar dan tegap. Lampu pula menggunakan jenis LED di belakang. Sebagai pilihan, ia turut ditawarkan dengan pilihan lampu utama Multibeam LED, serta lampu kabus LED.

Di dalam pula, rekaannya juga lebih sibuk dan menonjol – banyak juga kemasan plastik yang kelihatan seperti aluminium digunakan. Sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) juga melengkapi model ini. Untuk tempat duduk baris ketiga, ia boleh direbahkan dengan menggunakan satu sentuhan sahaja untuk memudahkan penumpang masuk ke ruang berkenaan. Selain ruang cawan, setiap penumpang mempunyai slot USB sendiri.

GALERI: Mercedes-AMG GLB 35 4Matic X247

GALERI: Mercedes-Benz GLB 200 X247