Turut dilancarkan sekali dengan Benelli 502C dan 150S adalah sebuah kapcai ekonomi bernama SM Sport E110. Ini adalah sebuah model yang menggunakan asas sama seperti SM Sport 110R tetapi kelengkapannya dijadikan lebih bersesuaian untuk memberi harga yang lebih mampu milik kepada orang ramai iaitu RM3,488.

Enjin yang digunakan pada model ini masih lagi menggunakan sistem bahan api karburator, dengan kapasiti 109 cc dan dipadankan bersama transmisi empat kelajuan. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 6 hp pada 7,500 rpm dan 7.0 Nm tork pada 5,000 rpm.

Antara bahagian utama yang ditukar untuk mengurangkan harga model ini adalah bahagian brek, di mana selain di belakang, bahagian hadapan juga menggunakan sistem dram. Rim walaubagaimanapun masih lagi unit aloi 17 inci yang dibalut tayar 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang.

Walaupun dipanggil sebagai sebuah kapcai ekonomi, SM Sport E110 masih lagi dilengkapi dengan pemula enjin elektrik dan tendang, kunci anti kecurian dan suspensi depan serta belakang Kayaba. Antara perincian lain motosikal ini adalah tangki bahan api 4.0 liter dan berat kering 100 kg.

SM Sport E110 ditawarkan dalam tiga warna iaitu Ocean Blue, Lava Red dan Carbon Black, dan ia didatangkan dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km (yang mana tiba dahulu). Enjin yang digunakan juga mendapat penarafan emisi Euro 3.