PANDU UJI: Toyota GR Supra – ini Toyota, bukan BMW

PANDU UJI: Toyota GR Supra – ini Toyota, bukan BMW

Dulu masa Honda mendedahkan Honda CR-Z dan menyatakan ia adalah jelmaan semula Honda CR-X, saya tergelak atas apa yang saya rasa ketika memandu model yang dijana unit janakuasa hibrid IMA yang hampir sama iaitu Honda Insight. Tapi bila dah pandu sendiri CR-Z berkenaan, saya terkedu, kereta hibrid tersebut benar-benar memberikan aura pemanduan seperti hot-hatch Honda era 90’an.

Ketika Toyota memperkenalkan jelmaan semula Levin/Sprinter Trueno AE86 iaitu model generasi baharu Toyota 86, saya kurang senang dengan hakikat bahawa ia bukan lagi dari keluarga Corolla, lari dari salasilah keluarga asal dengan kod casis ‘E’. Namun setelah memandunya buat pertama kali pada tahun 2012, ya, DNA kereta tersebut sama dengan AE86 – ia bukan mesin kelajuan, tetapi jentera yang membuatkan anda tersenyum ketika melayan selekoh.

Jadi berita berkenaan Toyota akan melahirkan semula Supra dengan teknologi BMW, saya terima dengan neutral. Saya tidak mahu ada sebarang andaian awal seperti “ini BMW rebadge” atau “dah tak true Supra tak pakai enjin 2JZ”, dan hanya akan mengulasnya setelah memandu kereta tersebut.

Alhamdulillah, sebelum berlangsungnya pelancaran kereta sport ini di Malaysia pada petang 20 September 2019 lalu di Muzium TUDM Sungai Besi, saya dan rakan-rakan media lain diberi kesempatan membuat sesi pandu uji ringkas terhadap kereta ini di lapangan terbang lama tersebut. Jadi, ulasan pandu uji ini bukanlah terlalu mendalam, tetapi ia lebih bersifat salam perkenalan saya terhadap Toyota GR Supra A90.

PANDU UJI: Toyota GR Supra – ini Toyota, bukan BMW

Lagi sekali saya ulang dari banyak artikel saya sebelum ini, sejak ia dilihat pertama kali diuji di jalanraya pada September 2016, sehingga kemunculan sulungnya di Detroit pada Januari tahun ini, Supra generasi kelima ini adalah projek usahasama antara Toyota dan BMW.

Kedua-dua syarikat berjumpa dan berbincang bagi menghasilkan platform sebuah kereta sport dua pintu dengan enjin enam-silinder sebaris pada tahun 2012, dan kemudian ia diteruskan bersama-sama sehingga tahun 2014. Selepas itu, pasukan jurutera kedua-dua jenama tidak lagi berjumpa, dan menyudahkan projek tersebut dengan ‘perencah’ masing-masing – BMW muncul dengan model Z4 generasi baharu dikenali dengan kod G29, manakala Toyota hadir dengan Gazoo Racing Supra dengan kod casis A90 sebagai kesinambungan dari model A80 pada generasi keempat.

Kedatangan wakil media pada pagi Jumaat itu ‘disambut’ dengan sebuah Supra yang dipamerkan di atas pentas utama. Saya sendiri apabila melihat gambar, Supra tersebut kelihatan biasa sahaja. Tetapi bila pertama kali melihatnya depan mata, Supra ini boleh tahan mendebarkan.

Setiap garis badan pada coupe dua pintu ini – pada bonet hadapan, ruang roda belakang, lekuk pada bumbung dan sebagainya – menghasilkan rupa yang sangat gagah, seakan otot-otot pada badan seorang atlit.

PANDU UJI: Toyota GR Supra – ini Toyota, bukan BMW

Anda perasan tak hidung dan bampar Supra ini seakan hidung dan juga sayap hadapan sebuah kereta Formula 1? Ini kerana selain dari penyambung legasi Supra, model ini juga sebenarnya adalah versi produksi model konsep Toyota FT-1 yang muncul pada tahun 2014, yang turut mengambil inspirasi dari kereta Formula 1 (Toyota pernah bertarung dalam F1 dari tahun 2002 hingga 2009).

Bukan sahaja hidung, malah hampir semua perincian luaran Supra A90 ini adalah diambil dari FT-1 termasuk lampu hadapan, liang-liang udara (pada bonet, fender hadapan, pintu dan bampar belakang) garis bumbung bersama bentuk tingkap, lampu dan bonet belakang yang direka dengan spoiler bersepadu dan juga diffuser belakang. Tetapi sudah tentu rekaan pada model produksi sebenar ini tidak agersif seperti versi konsep dan kebanyakkan liang udaranya pula adalah palsu.

Dalam masa yang sama, rekaan Supra A90 ini juga masih menerapkan konsep dari model generasi keempat – bonet hadapan panjang, bumbung yang rendah bersama tingkap sisi belakang yang kecil, serta but yang sangat pendek. Malah lampu dan bentuk but belakang juga dihasilkan dari inspirasi kepada Supra JZA80.

Satu lagi perkara yang nampak biasa pada gambar, tetapi sangat menarik jika anda lihat depan mata adalah rim pada Supra ini. Saya tak tahu berapa offset rim aloi forged 19-inci dua tona tersebut, tetapi ‘mangkuk’ yang terhasil di bahagian tengah rim berkenaan agak menggiurkan saya.

Walaupun Toyota menyatakan GR Supra ini adalah model dengan kod “A90”, namun tiada sebarang kod tersebut dicetak pada nombor casis kereta ini. Malah pada plat pengenalan identiti (VIN) Supra ini juga ditulis “Made by BMW” dengan konfigurasi kod casis sama seperti jenama Jerman berkenaan. Untuk pengetahuan anda juga, Supra tidak dipasang di Jepun, sebaliknya diproduksi di kilang Magna Steyr yang terletak di Graz, Austria, tempat sama BMW menghasilkan Z4 G29.

Saya juga sempat membelek kabin Supra ini sebelum sesi pandu uji dijalankan. Supra bukan coupe 2+2, sebaliknya ia adalah model dua pintu dengan hanya dua tempat duduk. Jadi kabin kereta ini sememangnya kecil dan bumbungnya pula sangat rendah – mungkin hanya sekitar 3-4 cm jarak kepala saya dengan bumbung kereta ini setelah duduk dengan betul.

Kabin Supra menerima papan pemuka yang jauh lebih ringkas dari BMW Z4 dengan diberikan papan pemuka direka dengan elemen lebih mendatar menampilkan liang pendingin hawa tengah seakan bersambung terus dengan liang pada bahagian sisi penumpang. Ia juga menerima papan instrumen digital berbeza dari BMW yang menampilkan takometer digital sebagai bintang utama di bahagian tengah, seakan rekaan takometer analog pada adiknya, Toyota 86.

Namun imej BMW masih jelas pada bahagian ini terutama pada skrin sistem infotaimen 8.8-inci di tengah papan pemukan bersama konsol kawalannya yang terletak di terowong tengah – Toyota menjenamakan semula sistem BMW iDrive ini sebagai sistem Toyota Supra Connect, dengan fungsi serta bunyi ‘beep’ yang sama.

PANDU UJI: Toyota GR Supra – ini Toyota, bukan BMW

Turut mengingatkan kita bahawa BMW berselindung disebalik Supra ini adalah tombol gearnya – menampilkan cara operasi yang sama dengan BMW untuk menukar gear ke posisi ‘P’, ‘D’, ‘R’ mahupun bertukar ke mod manual.

Sekali lagi, saya agak beruntung pada sesi pandu uji pagi itu kerana tersenarai dalam kelompok tiga orang pertama yang akan memandunya, dan diberikan unit paling handsome dengan warna Lightning Yellow sama seperti unit pemilik GR Supra pertama di Malaysia, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Yang Dipertuan bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Takzim.

Ini juga pertama kali saya dapat dengar bunyi enjin enam-silinder sebaris pada Supra berkenaan. Ada orang cakap, bunyi enjin B58 BMW ini tak garang macam bunyi 2JZ, tetapi biasanya mereka akan merujuk bunyi 2JZ yang telah diubahsuai dengan ekzos lebih besar dan juga diberikan wastegate turbo jenis external. Pernah dengar bunyi 2JZ standard?

Pada saya, dalam era bunyi yang kuat pun diiktiraf sebagai pencemaran yang sangat serius bagi kelulusan sesebuah kereta baharu di Eropah, bunyi yang dihasilkan oleh Supra ini sudah cukup garang dan memberikan melodi enam-silinder sama seperti 2JZ. Malah enjin berkenaan turut diberikan talaan bagi menghasilkan letupan seakan mercun papan diletakkan dalam lubang ekzos setiap kali pedal pendikit diangkat, secara standard.

PANDU UJI: Toyota GR Supra – ini Toyota, bukan BMW

Litar yang dibuat di atas landasan kapal terbang tersebut adalah agak ringkas. Kami diberi peluang untuk memecut Supra ini semahunya dalam jarak sekitar 500 meter (tidak termasuk kawasan membrek) sebanyak dua kali (pergi dan balik), kemudian diberikan tiga jenis laluan slalom – perlahan, sederhana laju dan laju.

Sebaik sahaja instructor saya di tempat duduk penumpang memberi arahan ‘go’ di garisan mula laluan memecut, pedal pendikit saya tekan semahunya. Hasilnya? Punggung Supra berkenaan seolah-olah ditendang oleh Godzilla, memecut kehadapan meninggalkan jantung saya di belakang, macam tak percaya ia adalah enjin dengan kuasa didakwa hanya 340 PS!

Saat ini saya sedar, ini adalah Toyota sebenar, dan ia bukan BMW! Kenapa? kerana BMW mahupun pengeluar-peneluar Eropah yang lain lebih cenderung untuk menghasilkan enjin turbo berkapasiti kecil, tetapi memberikan respon yang linear seakan sebuah enjin NA berkapasiti besar.

Supra ini lain, jurutera Toyota telah memberikan karekter talaan kuasa seperti sebuah enjin turbo sebenar, dengan tujahan kuasa yang agak gangster. Di tambah pula dengan tukaran gear yang pantas dan dapat dirasai dengan jelas diberikan oleh transmisi ZF lapan kelajuan yang digandingkan, Supra cukup menggembirakan saya pagi itu.

PANDU UJI: Toyota GR Supra – ini Toyota, bukan BMW

Menurut Toyota, kereta dikuasakan enjin 3.0 liter bersama pengecas turbo twin-scroll dengan tork 500 Nm ini mampu mencatatkan masa hanya 4.3 saat dalam pecutan 0 hingga 100 km/j, sebelum mencapai kelajuan maksima yang dihadkan pada 250 km/j secara elektronik. Pada pengalaman saya sendiri, Supra ini dengan mudah mencapai kelajuan lebih dari 200 km/j pada jarak 500 meter berkenaan, dari kedudukan pegun.

Sekali lagi saya terpesona dengan kereta ini ketika mengujinya pada laluan slalom. Olengan badan kereta ini dirasakan sangat kurang ketika haluannya dari kiri ke kanan, atau dari kanan ke kiri diubah secara drastik. Ia terasa sama seperti memandu Toyota 86, malah jauh lebih baik. Jadi di sini, saya mengesahkan kenyataan ketua jurutera Supra, Tetsuya Tada bahawa Supra yang diberikan enjin enam-silinder sebaris mempunyai titik graviti lebih rendah dari Toyota 86 yang dijana enjin boxer empat-silinder adalah benar sebenar-benarnya.

Kalau anda nak tahu juga, jarak roda Supra ini sebenarnya lebih pendek dari Toyota 86, iaitu masing-masing 2,470 mm dan 2,570 mm. Ini menjadikan Supra ini mempunyai karekter yang cukup lincah dalam laluan slalom tersebut. Malah, ia turut menjadikan stereng kereta ini sangat laju – tangan anda tidak akan terlalu sibuk ketika menukar haluan, tetapi anda perlu lebih sensitif dalam mengawal kerana tukaran arah yang terlalu laju akan merosakkan dinamik pemanduan anda sendiri.

Satu perkara lagi, walaupun Supra masih dihasilkan dalam konfigurasi enjin hadapan, pacuan belakang (FR), kereta ini berjaya dihasilkan dengan nisbah agihan berat sempurna 50:50 antara hadapan dan belakang. Jadi walaupun ia sebuah kereta yang ‘tail happy’, bukan bermaksud ia sukar dikawal, tetapi agak mudah untuk anda membetulkannya kembali sekiranya berlaku oversteer – sama seperti Toyota 86.

PANDU UJI: Toyota GR Supra – ini Toyota, bukan BMW

Akhirnya, adakah Toyota GR Supra A90 ini adalah Supra sebenar atau model rebadge semata-mata? Pada saya, ibaratnya begini – Toyota dan BMW telah bersama-sama membuat resipi doh pizza, dengan berkongsi duit, bahan dan juga pengetahuan masing-masing. Setelah siap doh tersebut, kedua-duanya pulang ke rumah bagi menghasilkan pizza yang lengkap – BMW dengan dengan topping perisa Jerman, Toyota pula dengan topping perisanya sendiri, menjadikan kedua-dua pizza tersebut dua makanan dengan rasa berbeza.

Setelah memandu Supra ini, boleh saya simpulkan bahawa walaupun ia mempunyai platform dan enjin yang sama dengan BMW Z4, Toyota jelas berjaya menghasilkan talaan enjin, kotak gear, suspensi dan pelbagai aspek lain yang berbeza bagi membolehkan anda rasa Supra adalah sebuah Toyota sebenar dan Abang Long kepada Toyota 86.

Dan jika ada yang tidak puas hati kenapa Toyota tidak menghasilkan 86 dengan enjin turbo, tak payah nak merungut lagi. Ini masanya anda kerja kuat sikit lagi, kumpul duit dan beli Supra, sebab ia memang rasa macam 86 dengan dua kali lebih berkuasa!

Toyota GR Supra A90 dijual pada pasaran Malaysia dengan hanya satu varian GTS, dengan harga atas jalan tanpa insuran bermula RM568,000. Ia tidak didapati di semua pengedar UMW Toyota, sebaliknya hanya boleh dibeli di pengedar yang diiktiraf sebagai GR Garage, dan setakat ini hanya ada lima outlet seumpanya di Malaysia. Segala perincian lanjut berkenaan spesifikasi kereta ini boleh anda lihat di laman Carbase.my.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • syahril mazlan on Sep 27, 2019 at 4:05 pm

    Untuk makluman, tapak pelancaran Toyota Supra baru ini adalah tapak BANDAR MALAYSIA, SG BESI, KUALA LUMPUR. (BEKAS LAPANGAN TERBANG KUALA LUMPUR).

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required