Bollinger B1 dan B2 didedah – SUV dan trak pikap kuasa bateri, mampu hasilkan kuasa 614 hp, 906 Nm

Bollinger B1 dan B2 didedah – SUV dan trak pikap kuasa bateri, mampu hasilkan kuasa 614 hp, 906 Nm

Sementara Land Rover tidak mahu lagi menggunakan bentuk petak ringkas bagi Defender dan beralih kepada bentuk moden, ada syarikat lain pula yang mengeluarkan kenderaan dengan bentuk itu. Apa yang anda lihat ini adalah trak pikap dan SUV elektrik keluaran syarikat dari Michigan iaitu Bollinger.

Model B1 (SUV) dan B2 (pikap) yang ditunjukkan ini sebenarnya adalah model prototaip, tetapi mereka sudah bersedia untuk memulakan produksi menjelang separuh pertama. Tempahan sudah mula dibuka tetapi harga masih belum didedahkan. Jualan kenderaan ini akan difokuskan kepada pasaran Amerika Syarikat terlebih dahulu manakala versi panduan sebelah kanan juga akan dikeluarkan nanti.

Apa yang diberitahu setakat ini, B1 dan B2 menggunakan penggerak yang sama iaitu dua motor elektrik yang mendapat kuasa daripada bateri 120 kWh yang terletak di bawah lantai, dan mampu menghasilkan 614 hp dan 906 Nm tork. Jarak gerak kenderaan ini adalah 322 km dan beratnya pula 2,268 kg.

Bollinger B1 dan B2 didedah – SUV dan trak pikap kuasa bateri, mampu hasilkan kuasa 614 hp, 906 Nm

Menurut Bollinger, bateri yang digunakan boleh dicas dengan sistem Level 1 (110 V) dan Level 2 (220 V), dan apabila menggunakan sambungan Type 1 SAE J1772, ia akan mengambil masa 10 jam untuk penuh. Jika menggunakan pengecasan pantas Level 3 DC dengan sambungan CCS pula, ia cuma akan mengambil masa 75 minit untuk penuh.

Pada aspek prestasi, kenderaan ini boleh memecut 0-96 km/j (0-60 bsj) dalam masa cuma 4.5 saat, dan mencecah laju maksimum 161 km/j. Sudah tentu, ia tidak boleh menyaingi kereta elektrik prestasi lain, dan itu bukan tujuan utama Bollinger menghasilkan kenderaan ini.

Sebaliknya, mereka mahu menjadikan dua model ini sebagai kenderaan belasahan dan lasak, di mana ia menggunakan kotak gear dua kelajuan, hab gandar bergear, jarak dari tanah 380 mm, jarak gerak roda 254 mm, kapasiti mengangkat berat hingga 2,363 kg dan kemampuan menarik 3,402 kg.

Melihat kepada rekaan, kedua-dua model ini kelihatan sama dari depan, tetapi di bahagian belakang B1 menggunakan bentuk SUV manakala B2 mempunyai ruang barangan terbuka yang lebih panjang. B1 mempunyai ukuran 4,356 mm panjang (jarak roda 3,018 mm) manakala B2 mempunyai panjang 5,270 mm (jarak roda 3,530 mm). Lebar dan tinggi adalah sama iaitu 1,960 mm dan 1,846 mm.

Sementara itu, panel badan dan cermin pada kenderaan ini mudah ditanggalkan untuk menyesuaikannya dengan kegunaan pemilik. Selain daripada itu, pembeli juga boleh mendapatkan bumbung kaca jika mahu. Ciri lain pada kenderaan ini adalah seperti tempat duduk boleh cabut, pendingin hawa, soket pengecas 110 V dan sambungan Bluetooth. Bollinger juga memberitahu B1 dan B2 versi produksi nanti tidak akan dilengkapi dengan beg udara.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required