Volkswagen telah lancarkan dua edisi istimewa bagi model Amarok untuk pasaran UK; Amarok Black Edition dan Amarok Aventura Black Edition. Kedua-dua model dikuasakan oleh enjin 3.0 liter TDI V6, dengan dua pilihan janaan output – 204 PS atau 258 PS. Harga pula bermula dari £35,790 (RM185k) bagi model paling asas hingga £41,950 (RM211k) untuk Amarok Adventura Black Edition.

Kedua-dua model ini menggunakan asas varian paling tinggi, Highline dan hadir dengan perincian dihitamkan misalnya pada rim 20-inci yang digunakan, palang, bampar belakang, palang pemijak, kemasan lampu kabus, kemasan pada gril dan lain-lain, termasuk di bahagian dalam.

Selain itu, model paling mahal juga menerima kemasan kulit Nappa, kerusi depan Ergo Comfort dengan larasan elektrik, stereng multi-fungsi balutan kulit, paddle shifter, cermin sisi lipatan automatik, lampu kabus dengan fungsi belokan, pelindung bawah badan di depan serta lapisan pelindung pada bahagian barangan di belakang.

Selebihnya, ia menempat ciri yang sama seperti Amarok standard. Transmisi automatik lapan-kelajuan adalah ciri standard, begitu juga dengan sensor parkir depan dan belakang, ruang barangan yang luas serta Sistem Brek Pasca-perlanggaran automatik. Turut ditawarkan ialah pilihan warna hitam kesat (dengan tambahan £2,420 atau RM12.5k), sementara penutup Mountain Top juga ada sebagai pilihan dengan tambahan £1,665 (RM8.6k).