Bagi mengurangkan impak perubahan harga petrol RON 95 yang bakal diapungkan mulai 1 Januari 2020, kerajaan tetap akan menyumbang subsidi petrol selain melaksanakan Program Subsidi Petrol (PSP) untuk penerima Bantuan Sara Hidup (BSH).

Menurut Pengarah Bahagian Rasionalisasi Petroleum Kenderaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP) Amran Ahmad, setiap kali semakan harga minyak dilakukan, kerajaan akan memastikan ia tidak melebihi 5 sen dengan kos selebihnya ditanggung melalui subsidi.

“Apabila RON95 diapungkan, ia tidak akan naik secara mendadak sebaliknya berperingkat-peringkat. Pemberian subsidi itu diteruskan sepanjang kenaikan secara berperingkat harga minyak RON95 sehingga ia mencapai harga pasaran yang sepatutnya,” katanya kepada Bernama.

Mengenai subsidi petrol kepada golongan isi rumah berpendapatan pertengahan 40 peratus (M40) yang bakal diumumkan awal tahun hadapan, menurut KPDNHEP, selain butiran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), kelayakan menerima subsidi oleh golongan yang sering dikatakan dihimpit peningkatan kos sara hidup tetapi tidak diberi peruntukan sewajarnya itu akan bersandarkan rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Langkah saringan ketat itu bagi memastikan pendirian kerajaan bahawa subsidi tidak akan diperuntukkan secara membuta tuli sehingga mengundang ketirisan dan pembaziran berupaya direalisasikan.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata panduan lain yang akan digunakan untuk meneliti kelayakan subsidi kepada M40 ialah dengan menyemak 7.5 juta pembayar bil Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Kita semak bil TNB mereka dan kalau sepanjang tempoh enam bulan, jumlah bil elektriknya ialah sekitar RM100 hingga RM120, maka kita tahu pemegang akaun berkenaan tergolong dalam kelompok bawahan. Ketika ini kita mulakan dengan B40, iaitu kumpulan bujang dan keluarga seramai 10 juta, selain data JPJ yang memberikan jumlah 18 juta, iaitu 11.6 juta kereta serta 6.8 juta motosikal.

“Selepas kita silang semak, penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang mempunyai kereta bawah 1,600cc (kuasa kuda) dan motosikal 150cc ialah 2.9 juta, tetapi kerajaan genapkan kepada tiga juta. Jika Kementerian Kewangan jangkakan penerima subsidi ialah untuk menampung jumlah lapan juta, ia bermaksud lima juta lagi adalah lingkungan yang dimaksudkan, sama ada kelompok bawah, pertengahan atau atas dalam M40,” katanya di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Memperincikan acuan mekanisme, Saifuddin berkata, kerajaan masih berpegang dengan pendirian bahawa bayaran tunai adalah kaedah terbaik, selaras kajian membabitkan amalan negara luar yang menjalankan program subsidi bersasar. Saya terus terang, jujur bahawa kaedah pelaksanaan itu baru diumumkan dan kementerian kami akan duduk dengan Kementerian Kewangan bagi memastikan prinsip program subsidi bersasar mesti lancar serta tidak kacau bilau pada hari pertama pembayaran.

“Kami akan cuba mencapai kepastian dalam perkara ini, tetapi yang paling penting rakyat terbanyak dan layak dapat (subsidi) mesti menerimanya,” katanya.