Tokyo 2019: Lexus LF-30 pamer teknologi elektrik maju

Untuk Tokyo Motorshow 2019, sangat jelas arah tuju yang ditunjuk oleh jenama pengeluar utama Toyota/Lexus; semuanya adalah tentang kemaskini terhadap teknologi kenderaan elektrik dan juga yang menggunakan sumber tenaga diperbaharui.

Lexus sebagai jenama premium dari kumpulan berkenaan juga tidak ketinggalan dalam merangkul aspirasi sama melalui model Lexus LF-30 Concept yang membuat penampilan sulung umum pada acara berkenaan – manifestasi kepada sebuah kereta dengan teknologi elektrik terkini.

Lexus LF-30 Concept juga mempamerkan wawasan dan pandangan Lexus terhadap penggayaan rekabentuk kenderaan masa hadapan. Ia sebuah rekaan yang dihasilkan khusus untuk model konsep ini, dan bukannya diwarisi daripada model-model konsep sebelum itu, misalnya seperti Lexus LF-1 Limitless yang diperkenalkan pada awal 2018.

Tokyo 2019: Lexus LF-30 pamer teknologi elektrik maju

Rekaan Lexus LF-30 lebih tersendiri. Wajah depan tampil dengan rekaan “spindle grille” yang lebih besar dan tajam. Wajah depannya juga kelihatan besar, dengan dua bukaan udara luas di sudut bampar serta rekaan lampu yang tirus antara yang membentu imej futuristik ketara. Di lihat dari sisi, garis badan dan profil tepinya juga punya sentuhan unik; kekal dengan elemen rekaan yang tajam, tetapi lebih “kembung” di bahagian belakang.

Bahagian belakang melengkapkan lagi imej yang ingin dibawa oleh model konsep ini, dengan rekaan lampu berbentuk L dan elemen bersegi yang tajam turut diteruskan. Menjadi teras kepada elemen “Lexus Electrified” pada model ini ialah teknologi Lexus Advanced Posture Control yang mengawal selia output kuasa dari motor elektrik dengan kadar tork tinggi dan melaraskan postur kenderaan agar selari dengan deria manusia.

Tokyo 2019: Lexus LF-30 pamer teknologi elektrik maju

Menurut Lexus, kereta ini juga akan mempamerkan teknologi pemanduan autonomous serta generasi yang akan datang. Sistem sterengnya menggunakan pendekatan steering-by-wire, dan boleh disorok masuk ke dalam bahagian papan pemuka sekiranya di dalam mod melayar automatik. Rekabentuknya juga berbeza daripada rekaan bulat yang biasa; ia berbentuk seperti pemegang bersegi. Ia juga menggunakan sistem stereng untuk pacuan semua roda.

Setiap roda juga akan mempunyai motor tersendiri dan mampu berfungsi secara independen; ini membolehkan ruang kabin yang tersedia lebih luas untuk keselesaan pemandu dan penumpang. Menurut Lexus lagi, LF-30 adalah aspirasi kepada kenderaan dengan teknologi elektrik akan datang bagi jenama itu, yang turut terdiri daripada pilihan dari jenis EV, PHEV, hibrid atau FCEV.

Lexus LF-30 di Tokyo Motorshow 2019

Lexus LF-30: Gambar rasmi