Tokyo 2019: Subaru WRX STI EJ20 Final Edition – hanya 555 unit diproduksi untuk pasaran Jepun sahaja

Tokyo 2019: Subaru WRX STI EJ20 Final Edition – hanya 555 unit diproduksi untuk pasaran Jepun sahaja

Seperti yang kami pernah siarkan sebelum ini, Subaru telah pun mempertontonkan model WRX STI EJ20 Final Edition di Tokyo Motor Show (TMS) 2019 yang sedang rancak berlangsung. Sewaktu memperkenalkannya tempoh hari, Subaru memaklumkan, jentera prestasi tinggi ini akan diproduksi terhad sebanyak 555 unit dan untuk pasaran Jepun sahaja. Ia juga bagi meraikan kejayaan model Subie dalam bentuk turbo dan bukan-turbo selama 30 tahun iaitu sejak zaman Legacy sedan JDM pada tahun 1989.

Merupakan model WRX STI dengan legasi enjin terakhir EJ20, di mana Subaru menyatakan produksi bagi penjana kuasa tersebut akan ditamatkan sepenuhnya di Jepun mulai penghujung Disember 2019. Enjin berkapasiti 2.0 liter turbocharged ini mampu menghamburkan kuasa sebanyak 304 hp dan tujahan tork 422 Nm.

Kiranya prestasi yang rendah sedikit berbanding model edisi istimewa WRX STI S208 (325 hp/431 Nm) yang dilancarkan dua tahun lalu serta model S207 (320 hp/433 Nm) yang diperkenalkan pada tahun 2015, kedua-duanya juga dengan enjin EJ20 yang sama. Model edisi ‘sayonara’ ini juga disalurkan kuasanya ke semua roda menerusi transmisi manual enam-kelajuan.

Tokyo 2019: Subaru WRX STI EJ20 Final Edition – hanya 555 unit diproduksi untuk pasaran Jepun sahaja

Bukan itu sahaja, Final Edition ini turut menerima sedikit perubahan mekanikal termasuk omboh yang diseimbangkan semula, klac dan flywheel yang dipertingkatkan serta menampilkan plak yang tertulis “EJ20 Final Edition” pada enjinnya.

Memandangkan model ini dikira edisi istimewa dan terhad, maka ciri luaran dan dalaman yang lebih unik turut ditampilkan. Antaranya, ia digandingkan dengan rim aloi BBS keemasan 19-inci dengan dibaluti tayar 245/35, brek Brembo 18-inci bersama enam kaliper omboh di hadapan dan dua unit di belakang.

Selain itu, gril hadapan dan bampar belakangnya juga diserlahkan dengan kemasan Cherry Red serta ditampilkan dengan perumah cermin sisi rona hitam dan juga spoiler belakang yang besar. Sementara untuk kabinnya, tempat duduk hadapan Recaro dibaluti material campuran kulit dan suede tiruan. Lain-lain ciri termasuklah tali pinggang keledar berwarna perak, balutan suede tiruan untuk roda stereng dan kemasan dalaman jahitan perak.

Ditawarkan pada harga ¥4,521,000 (RM173,523.18), pemohonan untuk pembelian WRX STI EJ20 Final Edition ini boleh dibuat menerusi laman web rasmi Subaru Japan antara 24 Oktober hingga 11 November 2019.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required