Subaru WRX STI EJ20 Final Edition akan didedahkan di TMS 2019 – versi terakhir dengan enjin EJ20

Subaru WRX STI EJ20 Final Edition akan didedahkan di TMS 2019 – versi terakhir dengan enjin EJ20

Seperti yang kita semua tahu, era 90’an merupakan era keemasan dalam industri automotif Jepun. Model-model JDM bukan sahaja gah dengan nama-nama model berprestasi tinggi seperti Skyline GT-R, Lancer Evolution dan Supra, malah nama-nama enjin seperti RB26DETT, 4G63T dan 2JZGTE turut menjadi buah mulut peminat-peminatnya.

Namun tahun demi tahun, enjin-enjin berkenaan mula dihentikan produksi kerana tidak lagi mampu untuk memenuhi standard pencemaran yang semakin menekan. Tetapi tahukah anda ada satu enjin dari era tersebut masih bertahan sehingga kini? Ia adalah enjin boxer empat-silinder dari Subaru iaitu EJ20, yang menjana model-model berpretasi tinggi Subaru dari era Legacy RS, Impreza WRX GC8, hingga kepada model Subaru WRX STI generasi sedia ada.

Tetapi, usia produksi EJ20 juga nampaknya telah sampai ke penghujung. Subaru telah mengumumkan model WRX STI EJ20 Final Edition yang akan didedahkan pada Tokyo Motor Show (TMS) 2019 bulan hadapan, menandakan ini adalah versi terakhir WRX STI yang menggunakan enjin tersebut. Subaru turut menyatakan bahawa produksi enjin EJ20 ini akan ditamatkan sepenuhnya di Jepun pada penghujung Disember 2019.

Subaru WRX STI EJ20 Final Edition akan didedahkan di TMS 2019 – versi terakhir dengan enjin EJ20

EJ20 (siri EJ dengan kapasiti 2.0 liter, juga terdapat dalam versi kapasiti lain seperti EJ15, EJ16 dan EJ18) hadir dalam pelbagai varian seperti NA dan aci sesondol tunggal (SOHC). Namun yang paling digeruni tentulah dari versi Turbo dengan aci sesondol berkembar (DOHC) yang muncul buat pertama kali pada tahun 1989 dalam perut Subaru Legacy RS 4WD, menjana sekitar 220 PS dalam keadaan standard.

Ia kemudian lebih dikenali setelah Subaru Impreza WRX GC8 membuat kemunculan pada tahun 1992 menggunakan enjin yang sama. Kesemua juara WRC Subaru – Colin McRae (1995), Richard Burns (2001) dan Petter Solberg (2003) – dinobatkan sebagai juara dunia juga dengan jentera yang dijana oleh EJ20.

Enjin ini juga pernah ‘berperang’ dalam disiplin perlumbaan lain seperti JGTC dalam kategori GT300, Super Taikyu Endurance, Kejohanan Drift D1GP dan juga Nürburgring 24-jam. Ketika lawan terus kepada WRX iaitu Lancer Evolution merehatkan enjin 4G63T dan diganti dengan 4B11T pada tahun 2007 menerusi Evo X, khidmat EJ20 masih digunakan pada WRX STI sehingga kini.

Buat masa sekarang, model WRX sebenarnya telahpun menggunakan enjin yang lebih baharu iaitu FA20, sementara EJ20 pula masih digunakan pada model WRX STI JDM (model pasaran lain diberikan enjin EJ25 yang lebih besar) dengan bekalan kuasa 329 PS/432 Nm pada model WRX STI Type RA-R.

Selain dari berberapa gambar, Subaru masih belum mengumumkan apa-apa perincian teknikal untuk versi selamat tinggal ini, dan ia akan didedahkan pada 23 Oktober nanti.

Subaru Impreza generasi baharu kini telah pun diperkenalkan dalam fasa facelift, namun versi berprestasi tinggi WRX dan WRX STI berdasarkan model tersebut masih lagi belum muncul. Walau bagaimanapun, Subaru telah pun menayangkan model konsep Subaru Viziv Performance dan Viziv Performance STI sebagai preview kepada versi produksi WRX dan WRX STI akan datang.

Kedua-dua model baharu tersebut dijangka akan muncul pada tahun hadapan, dan ia mungkin akan diberikan unit janakuasa hibrid yang menggabungkan enjin boxer generasi baharu bersama motor elektrik.

GALERI: Subaru Viziv Performance STI di Tokyo Auto Salon 2018

GALERI: Subaru Viziv Performance di Tokyo Motor Show 2017

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required