Mitsubishi Triton Quest 2019 – model dengan aksesori dipamer, tunjuk potensi ubahsuai trak low rider 4×2

Mitsubishi Triton Quest 2019 – model dengan aksesori dipamer, tunjuk potensi ubahsuai trak <em>low rider</em> 4×2

Mitsubishi Triton Quest (atau Triton Lite sebelum ini) biasanya menjadi pilihan pengguna yang mahukan sebuah trak pikap untuk ‘dibelasah’ bagi tujuan kerja-kerja komersil. Namun oleh kerana harganya yang jauh lebih murah dari Triton biasa (ia hadir ‘kosong’ tanpa apa-apa ciri fancy), lebih rendah dan juga hanya memacu roda belakang (4X2), model ini juga sering dipilih untuk projek-projek modifikasi.

Anda boleh lihat kehadiran banyak trak-trak pikap low rider berkenaan digunakan di litar lumba atau litar Drag di Thailand (dan telah menular di Malaysia akhir-akhir ini), serta kehadirannya dalam pelbagai acara autoshow atau perhimpunan-perhimpunan kereta-kereta ubahsuai.

Jadi menyedari potensi tersebut, ketika pelancaran Mitsubishi Triton Quest facelift 2019 hari ini, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) turut mempamerkan sebuah Triton Quest dengan muka Dynamic Shield yang telah diberikan pelbagai aksesori aftermarket.

Mitsubishi Triton Quest 2019 – model dengan aksesori dipamer, tunjuk potensi ubahsuai trak <em>low rider</em> 4×2

Tiada pengubahsuaian suspensi dibuat pada trak pikap ini, namun hanya dengan menggunakan rim Advanti 18-inci lima-jejari berkembar dua-ton, bersama tayar All-Terrain Toyo Open Country bersaiz 235/60R18, ia sudah pun nampak begitu menarik.

Kemudian bed belakang yang terbuka ditutup dengan penutup bed jenis roller shutter, manakala kesemua tingkap diberikan door visor. Ia turut diberikan penutup lampu belakang dan spoiler bumbung dengan saiz besar dan sudut yang agak ‘congek’ bagi melengkapkan rupa agresifnya.

Walau bagaimanapun, tiada pengubahsuaian diberikan pada bahagian dalaman, enjin serta aspek mekanikal dibuat. Mitsubishi Triton Quest 2019 hadir dengan ciri-ciri seperti paparan pelbagai info pada papan meter dengan bacaan-bacaan asas seperti penggunaan purata bahan api dan juga pengingat servis serta pemain utama 2-Din yang boleh memainkan CD serta sokongan hubungan Bluetooth.

Model ini juga dilengkapi dengan Electronic Time and Alarm Control System (ETACS), bersama fungsi seperti isyarat membelok untuk menukar lorong, pemasa tingkap berkuasa, lampu hadapan mati sendiri, pengunci semula automatik, pengelap cermin dengan pemasa kelajuan automatik dan juga penangguh 15-saat lampu kabin selepas kereta dimatikan.

Kit keselamatan juga agak asas, terdiri dari dua beg udara serta brek dengan sistem ABS dan EBD. Triton Quest juga hanya boleh dibeli dalam Pearl White. Penderia parkir turut diberikan tetapi hanya pada bahagian belakang.

Berbanding versi lebih tinggi yang dijana enjin baharu 2.4 liter MIVEC turbodiesel, Triton Quest yang jauh lebih mampu milik berharga RM79,890 (dalam keadaan standard, bukan diberikan aksesori seperti ini) tersebut hanya dikuasakan oleh enjin 2.5 liter commonrail turbodiesel tanpa sistem VGT. Enjin berkenaan menghasilkan 110 PS dan tork maksima 200 Nm bermula 2,000 rpm, digandingkan dengan kotak gear manual lima-kelajuan yang hanya memacu roda belakang.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required