Masalah dengan Subaru Forester 2019 ialah, jika mata anda tidak terbiasa untuk melihat perbezaan atau pembaharuannya, ia akan kelihatan sangat mirip dengan model versi sebelum itu. Padahal, ini merupakan model serba baru, dan bukannya model facelift. Reka bentuk umumnya masih tidak jauh berbeza, tetapi mekanikal dalaman sebenarnya telah “disalin” habis.

Diperkenalkan Ogos lalu untuk pasaran Malaysia, model generasi kelima ini telah beralih daripada penggunaan platform yang sama dengan Impreza sebelum ini dan digantikan dengan Subaru Global Platform (SGP) – ada bahagian-bahagian pada platform terbaru ini 40% hingga 100% lebih kukuh berbanding platform lama. Ia sekaligus menjadikannya lebih terarah untuk disesuaikan sebagai sebuah SUV yang selayaknya, dan ingin lari lebih jauh daripada susur galur warisannya yang datang dari sebuah wagon, seperti yang kita lihat pada Forester beberapa generasi yang awal.

Bukan platform saja yang ditukar, malahan enjin dan transmisinya juga baru. Kekal dengan kapasiti sama, enjin 2.0 liter suntikan terus naturally-aspirated empat-silinder yang ada ini merupakan unit yang menampilkan 80% daripada bahagian enjinnya yang telah direka semula. Ia kini menghasilkan sebanyak 156 PS pada 6,000 rpm dan 196 Nm tork pada 4,000 rpm.

Subaru mendakwa, berbeza dengan enjin lama, unit FB20 2.0L baru ini memberikan penjimatan bahan api yang lebih baik dan mempertingkat penyampaian kuasa serta menyediakan maklum balas yang lebih berkesan, terutama dalam kelajuan umum 50 km/j hingga 100 km/j. Walaupun tork puncak sedikit berkurangan berbanding dulu, ia lebih tinggi dan cepat tiba dalam kelajuan enjin yang lebih kerap digunakan untuk gaya pemanduan harian.

Unit enjin berkenaan digandingkan dengan kotak gear Lineartronic CVT yang juga baru. Transmisi berkenaan kini memiliki tujuh tahap kelajuan, berbanding hanya enam-kelajuan sebelumnya, serta nisbah gear yang lebih rapat serta kotak gear yang lebih ringan – ini untuk memberikan rasa pecutan yang lebih cepat serta penggunaan petrol yang lebih cekap. Ia juga datang dengan ciri Auto Stepped Speed Control yang berfungsi untuk memadankan dengan lebih baik bunyi enjin dengan pecutan semasa kenderaan.

Bayangkan, dengan semua pembaharuan ini, agak rugi rasanya peluang berkenaan tidak dimanfaatkan untuk Subaru memperkenalkan reka bentuk lain yang lebih segar bagi SUV lima-tempat duduk ini. Mengapa? Mudah sahaja, mari kita alihkan perhatian kepada pesaing-pesaing lain yang ada bagi kategori SUV lima-tempat duduk, dengan harga yang tidak jauh lari daripada tiga varian Subaru Forester 2019 yang ditawarkan dari harga RM139,788 hingga RM159,788 ini.

Pilihan paling popular, yang sudah berada dalam pasaran Malaysia sejak beberapa generasinya, tidak lain ialah Honda CR-V. Ini diikuti pula dengan model seperti Mazda CX-5, Nissan X-Trail dan yang paling “muda” dalam pasaran tempatan, Proton X70. Jika dilihat daripada rekaan luaran, bagi mata kebanyakan orang, hampir semua model pesaing ini mempunyai imej yang lebih moden, bergaya dan sudah lama meninggalkan imej “berkotak” sebagai teras utama – anehnya Subaru masih ingin kekal dengan rupa begitu.

Dari sudut pandang estetika rekaan luaran – walaupun memang bergantung kepada selera masing-masing yang subjektif – Forester ini nampaknya bersendirian. Ambil CR-V atau X-Trail misalnya; kedua-dua model ini di dalam pengenalan generasi-generasi terdahulu memang hadir dalam pendekatan rekaan yang juga berkotak, tetapi telah jauh beralih dari penampilan yang sedemikian di dalam “kelahiran semula” terkini, seperti yang dapat kita lihat ketika ini.

Namun, tidak salah sekiranya ada yang menggemari reka bentuk Forester. Jika anda boleh “berdamai” dengan reka bentuk berpetak pada Forester terbarunya, maka tentu anda akan lebih menghargai SUV berkenaan, kerana ia ada beberapa hal dan kemampuan yang langsung tidak dimiliki oleh semua pesaingnya yang lain. Hampir begitu.

Ketika sesi pandu uji media bagi model Subaru Forester 2.0i-S EyeSight ke Kuantan minggu lalu, kami sempat dibawa mencuba laluan off-road di Most Fun Gym, Sungai Pencala. Memang, ini bukanlah keadaan di mana situasi off-raod yang terhampar itu terlalu sukar atau hardcore, tetapi ia lebih daripada memadai untuk menunjukkan kemampuan Forester. Permukaan berselut yang licin, permukaan mendaki yang tidak rata dan berselekoh tajam, laluan menuruni curam – semua ini memerlukan ketangkasan lain untuk dilalui oleh mana-mana kenderaan.

Kebiasaannya, jika berhadapan dengan laluan sebegitu, hanya trak pikap yang akan diharapkan. Tetapi, menjadi kelebihan bagi Subaru Forester, dengan jarak kelegaan tanah 220 mm, SUV ini tidak mempunyai banyak masalah untuk mengharungi cabaran seperti itu. Ini dibolehkan kerana adanya ciri Symmetrical All-Wheel Drive oleh Subaru, serta pilihan X-Mode yang ada (yang juga telah diperbaharui).

Tambahan terbaru bagi X-Mode yang dimaksudkan, selain pilihan Snow/Dirt untuk pacuan empat rodanya seperti yang ada pada model sebelum ini, ada satu lagi pilihan disediakan disebelah kanan tombol kawalannya; Deep Snow/Mud. Apa yang dilakukan oleh mod kedua ini adalah, ia akan mematikan kawalan cengakaman tayar sepenuhnya.

Dan, sekiranya dalam permukaan lincin berlumpur yang dalam, ini akan membolehkan tayar lebih mudah “spin” dengan maksud untuk roda mendapatkan lajak tolakan yang lebih untuk menggerakkan kenderaan keluar dari situasi itu. Satu lagi, sebaik ciri ini diaktifkan, ia dengan secara automatik juga akan turut mengaktifkan fungsi kawalan menuruni curam.

Seperti ramai sedia maklum, dengan fungsi ini, pemandu hanya perlu mengawal stereng sahaja ketika menuruni laluan yang bercerun. Selebihnya akan diuruskan oleh brek enjin Forester ini untuk memperlahankan kenderaan dalam kelajuan yang sangat mudah dikawal sehinggalah anda tiba ke permukaan rata semula. Seperkara lagi, radius pusingan Forester juga sangat baik; tidak susah untuk menghalakan kenderaan ini untuk melalui selekoh singkat yang tajam di dalam laluan off-road yang sempat kami cuba.

Ini sebenarnya lebih baik daripada pengalaman mengendalikan sebuah trak pikap dalam permukaan off-road seperti itu. Walaupun keupayaan Forester tidaklah mampu menandingi kemampuan trak pikap sepenuhnya dalam keadaan itu, Forester bagaimanapun akan membuatkan pemandu dan penumpang kekal dalam keadaan yang selesa dan tidak terlalu melambung – kerana ia sebuah SUV yang ada sisi tangkas demikian.

Dan, ini menjadi satu kelebihannya yang tidak dapat disangkal, kerana dalam banyak-banyak pesaing yang ada – sebagai contoh antaranya Honda CR-V, Mazda CX-5, Nissan X-Trail, Volkswagen Tiguan dan Proton X70 (pada harganya menawarkan lebih banyak ciri premium) yang mana semuanya mempunyai versi pacuan AWD juga – Subaru terbukti tidak gugup untuk dicampakkan ke dalam cabaran seperti itu, walaupun semua SUV yang disebutkan ini sangat serasi dengan imej dan penggunaan urban.

Selepas menggunakan X-Mode untuk harungi permukaan mencabar, dan katakanlah anda terlupa untuk nyah-aktifkan semula ciri berkenaan, maka tak perlulah anda risau. Ini kerana fungsi berkenaan akan dimatikan sendiri selepas kelajuan cecah 40 km/j. Maksudnya, sebaik sahaja SUV ini keluar dari laluan off-road dan mula menambah momentum pergerakan, ciri ini dengan sendirinya akan dibatalkan.

Perkara penting lain yang perlu dinyatakan ialah, dengan penawaran Forester 2019 ini, ia kali pertama model berkenaan menerima pakej keselamatan atau ciri bantuan pemanduan EyeSight. Sistem ini menggunakan dua kamera yang terletak dibahagian atas cermin utama. Hanya dua kamera ini dan tiada radar atau lain-lain input yang digunakan menilai situasi semasa dan memaklumkan sistem EyeSight untuk membantu pemandu.

Terkandung di dalamnya ialah tiga ciri utama; Pre-Collision Braking & Throttle Management, Lane Sway & Departure Warning dan yang terakhir, Adaptive Cruise Control & Lead Vehicle Start Alert. Bagi ciri pertama, ia merupakan ciri brek kecemasan automatik (efektif dari kenderaan mula bergerak sehingga 200 km/j) yang akan memberhentikan kereta anda sekiranya sistem mengesan pemandu tidak mengambil tindakan sewajarnya ketika terdapat kereta di hadapan.

Jika dalam kelajuan dan jarak yang munasabah, ia akan memberhentikan kereta sebelum berlanggar. Tapi sekiranya terlalu laju dan jarak berhenti yang pendek, ia hanya akan membantu mengurangkan kesan impak berkenaan. Perlu diingat bahawa semua ini hanyalah sistem sokongan sahaja, pemandu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keselamatan penumpang dan pengguna jalan yang lain. Selain kereta, ia juga boleh mengenal pasti manusia – hanya seorang dalam satu-satu masa, gerombolan tidak akan dicam – untuk fungsi brek automatik yang sama.

Jika anda bertukar lorong tanpa memberi lampu isyarat, sistem akan memberikan bunyi amaran untuk memaklumkan pemandu. Ia bagaimanapun tidak akan membetulkan laluan kenderaan secara automatik. Bagi ciri ACC pula sama seperti yang kita ketahui; ia akan mengikut dan mengekalkan jarak selamat dari kenderaan di hadapan. Sekiranya dalam keadaan berhenti, dan kereta depan sudah mula berjalan dan anda tidak perasan, sistem akan membunyikan amaran untuk menarik perhatian.

Sepanjang pengalaman singkat memandu Forester 2019 ini perjalanan pergi-balik Kuala Lumpur-Kuantan tempoh hari, secara umumnya sangat menyenangkan. Sesuai dengan perwatakannya sebagai sebuah SUV, semua penumpang mampu duduk selesa sepanjang masa. Cuma, bunyi tayar dan kotak gear CVT agak ketara kedengaran, terutama dalam kelajuan yang lebih tinggi. Dari sudut suspensi, ia sangat baik – pembaharuan turut dilakukan pada Forester terbaru ini menambah penggunaan stabilizer bar di belakang untuk menjadikan pergerakan atau olengan badannya berkurangan sebanyak 50%.

Reka bentuk berkotaknya, walaupun dari segi estetik kelihatan sangat old-school, tetap memberikan kelebihan lain; ruang kabin terasa luas dan selesa, dengan bukaan pintu kargo di belakang kini telah dilebarkan untuk memudahkan lagi pemuatan barangan. Ruang bukan satu masalah pada Forester, walaupun sebagai sebuah SUV, kedudukannya tidak dirasakan terlalu tinggi dari jalan.

Di posisi pemandu, Forester ini bagaimanapun terasa sedikit “berat” untuk bergerak. Mungkin disebabkan sistem AWD; yang melibatkan pertambahan berat (berbanding sekiranya dengan SUV dengan pacuan 2WD) dan juga rasa cengakaman yang terlalu berkesan untuk mengekalkan kenderaan dalam keadaan stabil sepanjang masa. Tentang cengkaman dan kestabilan itu pula, ia bukanlah satu kekurangan, melainkan menjadi taruhan terbesar Forester dari bagi sudut pemanduan – ia sentiasa terasa yakin untuk dikendalikan dalam keadaan apa pun.

Selepas meluangkan masa dua hari dengan Forester ini, antara pandangan yang terbentuk di dalam kepala saya ialah, Forester mempunyai dua sisi yang perlu diberi perhatian. Pertama, sebagai sebuah SUV kegunaan urban yang lengkap dan praktikal, sama seperti kebanyak pesaing-pesaing yang dinyatakan di atas. Tetapi, ia juga dalam masa yang sama mempunyai sisi tangkas dan rugged yang tersendiri. Yang saya maksudkan, kemampuannya untuk mengharungi situasi off-road dengan sangat meyakinkan. Ini mungkin satu-satunya SUV urban dalam kelasnya yang mampu melakukan perkara itu dengan baik.

Jadi, bayangkan begini. Ia sebuah SUV yang sangat berkemampuan untuk diandalkan bagi menjalankan urusan harian, termasuk sebagai kereta keluarga. Namun, dalam waktu-waktu yang lain, ia tidak kekok untuk dikerah bagi penerokaan yang di luar kebiasaan penggunaan seharian, misalnya untuk aktiviti gaya hidup lasak, bahkan sekadar untuk meneroka tempat-tempat yang tiada jalan berturap.

Untuk itu, harga RM160k yang diletakkan pada Subaru Forester 2.0i-S ES 2019 pemasangan Thailand ini sebenarnya agak berpatutan, kerana beberapa varian tertinggi model pesaing yang disebutkan sebelum ini bahkan dijual pada harga yang lebih mahal – tanpa kemampuan meredah permukaan off-road dengan yakin, tentunya. Apa pula pandangan anda?