Semalam, Mitsubishi telah melancarkan Mirage dan Attrage facelift 2020 di Thailand, dan sekarang kami bawakan pula kepada anda spesifikasi dan kelengkapan yang ada pada kenderaan tersebut. Rupa luaran dua model ini telah diubah, bersama penambahan beberapa ciri lain.

Untuk harga, antara keduanya, Mirage adalah lebih murah, dengan harga yang bermula 474,000 baht (RM65,300) untuk varian GLX manual, diikuti 509,000 baht (RM70,200) untuk GLX CVT, 574,000 baht (RM79,100) untuk GLS CVT dan 619,000 baht (RM85,300) untuk GLS-LTD CVT. Attrage pula dijual pada harga masing-masing 494,000 baht (RM68,100), 529,000 baht (RM72,900), 579,000 baht (RM79,800) dan 624,000 baht (RM86,000) mengikut varian.

Secara teknikalnya, ini adalah facelift kedua untuk Mirage dan Attrage, dengan kedua-duanya sekarang berkongsi muka Dynamic Shield yang sama dengan lampu hadapan LED kombinasi pelbagai mentol lebih tebal, kemasan krom berbentuk ‘X’ dan gril yang kelihatan bersambung dari atas hingga bawah.

Bahagian belakang juga diberikan perubahan yang sama untuk kedua-duanya, yang termasuk pemantul cahaya menegak di hujung bampar dan hiasan seperti diffuser di bawah. Dalam keadaan standard, Mirage mendapat lampu utama halogen reflector, gril krom, lampu belakang LED serta rim besi 14 inci, sementara varian GLS dan GLS-LTD mendapat lampu depan bi-LED, gril merah dan rim aloi 15 inci – lapan cabang, dua tona pada Mirage dan warna perak untuk Attrage.

Di dalam, sedikit saja perubahannya iaitu pilihan balutan tempat duduk untuk varian GLS-LTD paling atas (varian lain menggunakan fabrik biasa). Pada Mirage, anda akan mendapat balutan gabungan kulit tiruan dan fabrik dengan corak bersilang, manakala Attrage menggunakan kulit tiruan sepenuhnya. Semua model mendapat sistem infotainmen baru dengan skrin sesentuh tujuh inci, fungsi kawalan suara Siri Eyes Free serta boleh digunakan dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

Kelengkapan standard lain termasuk roda stereng pelbagai fungsi yang boleh dilaras atas dan bawah, paparan pelbagai info dan tempat duduk pemandu yang tingginya boleh dilaras secara manual; model CVT juga mendapat perehat tangan di tengah. Varian GLS pula ditambah lagi dengan roda stereng balutan kulit, sistem masuk tanpa kunci dan butang pemula, manakala GLS-LTD mendapat lampu depan automatik, cruise control, pendingin hawa automatik, tombol gear balutan kulit dan cermin pandang belakang kelam sendiri.

Bagi aspek keselamatan, semua model mendapat dua beg udara, ABS dan EBD dengan Brake Assist, Stability Control dan cagak ISOFIX di belakang, sementara varian GLS dan GLS-LTD terus ditawarkan dengan brek kecemasan autonomous kelajuan rendah dan pencegah salah guna pedal. Kamera undur dipasang pada varian GLS-LTD.

Bahagian mekanikal masih tidak diubah, di mana dua model ini masih menggunakan enjin petrol tiga silinder MIVEC NA yang mampu menghasilkan kuasa 78 PS pada 6,000 rpm dan 100 Nm tork pada 4,000 rpm. Ia dipadankan dengan sama ada transmisi manual lima kelajuan ataupun CVT. Walaupun tiada sebarang perubahan, Bangkok Post melaporkan model ini menepati peraturan program kenderaan Eco Thailand fasa kedua (kecekapan penggunaan bahan api minimum 23.3 km/l dan emisi maksimum 100 g/km).