Mitsubishi secara rasmi telah memperkenalkan trak pikap Triton Athlete 2019 untuk pasaran Thailand sebagai bukan sahaja model paling sporty, malah ia adalah varian tertinggi untuk pasaran berkenaan. Seperti model Athlete terdahulu, versi dengan muka Dynamic Shield ini turut menampilkan ciri-ciri yang direka unik hanya untuknya.

Bermula pada bahagian luar, Triton Athelete ini tampil lebih garang dengan kemasan-kemasan perak dan krom seperti pada gril, bampar dan skid plate semuanya digantikan dengan kemasan berwarna hitam berkilat. Muka varian ini juga diberikan perkataan ‘Mitsubishi’ yang dicetak kedalam ada kemasan di bawah logo ‘Tiga Berlian’ hadapan.

Bukan sahaja pada muka, malah Triton Athlete turut mendapat kemasan berwarna hitam pada running board, pelekat badan sisi istimewa, penutup cermin sisi, bumbung, sports bar, bampar belakang dan juga rim. Hanya tiga warna ditawarkan untuk model ini iaitu Sunflare Orange, White Diamond dan Jet Black Mica (model berwarna hitam ini hadir dengan pelekat badan kelabu).

Kelengkapan luaran lain, model Athlete ini dilihat hampir sama dengan Triton Adventure X pasaran Malaysia iaitu lampu hadapan projektor bi-LED bersama lampu nyalaan siang LED, pengelap cermin automatik dan rim 18-inci dengan tayar 265/60R18.

Pada bahagian kabin pula, Triton Athlete diberikan upholsteri kulit berwarna perang-hitam bersama sulaman ‘Athlete’ pada perehat badan. Balutan-balutan kulit pada panel pintu dan roda stereng pelbagai fungsi pula menerima jahitan kontras dengan benang oren.

Lagi sekali, kelengkapan dalaman Triton Athlete ini adalah hampir sama dengan Adventure X, diberikan suis penghidup enjin, panel meter berkontras tinggi bersama paparan pelbagai info berwarna, slot penyimpan telefon pintar dan port usb di belakang bersama liang penghawa dingin yang mengitar semula udara dari kabin hadapan menggunakan kipas blower sendiri, dan boleh dikawal dengan empat-kelajuan berbeza.

Ia juga diberikan amaran pemakaian tali pinggang keledar hadapan, penderia parkir hadapan dan belakang, tempat duduk pemandu larasan berkuasa serta skrin sesentuh yang boleh dikawal dengan suara dan sokongan Apple CarPlay bersama Android Auto.

Unit janakuasa juga tidak berubah di mana ia masih ditawarkan dengan enjin 4N15 MIVEC turbodiesel 2.4 liter yang mampu menjana 179 hp pada takat 3,500 rpm dan tork maksima 430 Nm bermula 2,500 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik bersama sistem Super-Select 4WD dan Easy-Select 4WD.

Untuk sistem keselamatan pula, Triton Athlete masih kekal diberikan antara sistem termaju dalam kelasnya iaitu tujuh beg udara SRS, Pengelak Pelanggaran Hadapan, Amaran Titik Buta dan Amaran Lintasan Trafik Belakang, Lampu Tinggi Automatik (AHB) dan juga Sistem Pengelak Salah Pecut Ultrasonic (UMS).

Mitsubishi Triton Athelete pasaran Thai ini juga hadir dengan dua versi iaitu Double Cab 4WD Athlete 6AT dijual pada harga 1,146,000 baht (RM158k) dan Double Cab Plus Athlete 6AT berharga 1,035,000 baht (RM143k). Model yang paling mahal tersebut menerima ciri tambahan seperti pendingin hawa dua-zon, pedal penukar gear, sistem navigasi, enam pembesar suara (berbanding empat), kawalan menurun bukit (HDC) dan juga butang mod pemanduan off-road.