MINI John Cooper Works GP 2020 – 306 hp/450 Nm, suspensi & kit badan lebih hardcore, hanya 3,000 unit

MINI John Cooper Works GP 2020 – 306 hp/450 Nm, suspensi & kit badan lebih <em>hardcore</em>, hanya 3,000 unit

Dari pengenalan model konsep dua tahun lalu, kemudian prototaip produksi didedahkan pada Jun tahun ini, akhirnya versi sebenar MINI produksi paling ‘jahat’ pernah dihasilkan – MINI John Cooper Works GP 2020 – kini membuat kemunculan sulungnya di Los Angeles Auto Show 2019.

Seperti dua model hardcore dari dua generasi sebelumnya, versi generasi terbaharu ini turut diberikan bukan sahaja enjin yang lebih berkuasa, malah tampil dengan rupa yang jauh lebih ganas. Ia juga dihasilkan dengan jumlah yang sangat terhad – hanya 3,000 untuk dibahagi-bahagikan dalam pasaran seluruh dunia.

JCW GP ini dijana enjin 2.0 liter empat-silinder turbo, sama seperti model JCW F54 Clubman dan crossover F60 Countryman baharu – menghasilkan 306 hp pada takat 5,000 hingga 6,250 rpm dan tork maksima 450 Nm bermula 1,750 rpm hingga 4,500 rpm.

Ia dipadankan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik yang lengkap dengan LSD mekanikal, hanya memacu roda hadapan. Gandingan tersebut membolehkan JCW GP ini memecut dari 0-100 km/j hanya dalam masa 5.2 saat. Tiada cut-off pada enjin model ini, dan secara standard ia boleh mencapai kelajuan maksima 265 km/j.

MINI John Cooper Works GP 2020 – 306 hp/450 Nm, suspensi & kit badan lebih <em>hardcore</em>, hanya 3,000 unit

MINI turut memadankan sistem ekzos yang unik hanya diberikan kepada JCW GP ini bagi memberikan bunyi deruman yang lebih mengasyikkan. Ia terdiri dari paip terus di hadapan, disambungkan ke silencer bersaiz besar di belakang. Dari situ, ia bersambung pula dengan dua tip ekzos dihujung berdiameter 90 mm, dengan kemasan brushed stainless steel, terletak di bahagian tengah bampar belakang.

Kuasa yang lebih besar ini turut datang sekali dengan pakej pemanduan dan pengendalian yang mantap. LSD yang diberikan bukan berfungsi secara mekanikal semata-mata, dan ia turut dihubungkan kepada Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC). Ia berupaya untuk menghasilkan kesan lock-up sehingga 31% untuk memberikan cengkaman kedua-dua roda hadapan yang lebih baik, bagi memastikan understeer atau oversteer boleh dielakkan lebih awal.

MINI juga memastikan sambungan pada cagak enjin, struktur badan dan suspensi adalah lebih kuat dari biasa. Ini memberikan respon stereng dan juga pedal pendikit menjadi lebih baik. Suspensi hadapan menerima pendakap-pendakap tambahan, manakala di belakang kerangka topang berbentuk segi-empat yang direka khas memastikan suspensi boleh dilaras untuk menangani pecutan sisi pada tahap tertinggi.

Menurut MINI lagi, JCW GP ini menerima talaan suspensi khas hanya untuknya dan ia diuji secara intensif di litar Nürburgring, Jerman. Badan kereta ini juga adalah 10 mm lebih rendah dari JCW biasa, manakala sudut camber hadapan dan belakang yang dipertingkat membolehkan potensi untuk memindahkan daya sisi dipertingkat ketika mengambil selekoh secara agresif.

MINI John Cooper Works GP 2020 – 306 hp/450 Nm, suspensi & kit badan lebih <em>hardcore</em>, hanya 3,000 unit

Bukan itu sahaja, ia juga diberikan galas getah pada gandar hadapan dan belakang yang lebih keras. Manakala pada lengan wishbone belakang, sambungan dengan cagak getah di sebelah luar telah digantikan dengan komponen dari logam, dan pada sebelah dalam menggunakan getah dengan material lebih keras.

Bagi menghentikan kereta ini, ia diberikan angkup aluminium tetap empat-omboh berwarna merah, bersama cakera berliang 360 x 30 mm pada sebelah depan. Angkup terapung silinder-tunggal pula berfungsi untuk menghentikan roda belakang. Set brek tersebut berselindung di sebalik rim aloi forged yang sangat ringan (kurang 9 kg setiap satu) bersaiz 18-inci dengan lebar 8.0 j. Ia dibaluti tayar berprestasi tinggi bersaiz 225/35R18.

Seperti yang boleh dilihat pada versi prototaip sebelum ini, JCW GP tampil dengan rupa luaran lebih liar bukan sahaja kerana komponen-komponen aerodinamik yang dipadankan, ia juga diberikan kit badan lebih lebar dari versi standard.

Bampar hadapan versi ini menerima gril bawah dengan liang pengambilan udara yang besar untuk mengalirkan udara sejuk ke sistem penyejukkan enjin dan sistem brek. Kemudian ia diberikan spoiler yang bersambung terus dengan kedua-dua overfender hadapan yang kelihatan seperti terapung. Rekaan hampir sama tampil pada fender belakang.

JCW GP ini kemudiannya diberikan spoiler belakang yang cukup besar dengan dua bilah sayap. Juga seperti bahagian hadapan, overfender kelihatan bersambung dengan bampar belakang, dan terus dihubungkan kepada diffuser yang bersaiz besar.

Model ini juga kelihatan lebih funky dengan serlahan-serlahan unik. Kesemua panel overfender yang dipadankan diperbuat dari bahan ringan plastik yang diperkuat dengan gentian karbon (CFRP). Menurut MINI, bahan untuk menghasilkan komponen tersebut adalah dikitar semula dari produksi BMW i3 dan i8, yang kemudiannya diperhalusi lagi. MINI turut memberikan nombor unik yang tidak sama pada setiap unit dari “0001” hingga “3000” pada overfender hadapan yang dihasilkan dari proses pindahan cat baharu.

Model edisi terhad ini hanya dihasilkan dalam warna Racing Grey Metallic, dan kemudian diberikan logo-logo “GP” dengan warna Rosso Red Metallic Matt pada tempat sepatutnya, bersama serlahan-serlahan Chilli Red pada gril hadapan, pelekat badan sisi dan pada spoiler belakang.

Perincian lain diberikan pada bahagian luaran MINI JCW GP ini termasuk kemasan hitam pada sekeliling lampu hadapan, bahagian tengah gril, logo MINI, lampu belakang, penutup tangki petrol dan juga pada pembuka pintu. Seperti model-model MINI terbaharu lain, lampu belakang model ini turut diberikan grafik bendera British ‘Union Jack’.

Pada bahagian dalaman pula, model ini diberikan tempat duduk sport yang dibalut dengan gabungan Dinamica dan kulit, bersama serlahan jalur perak pada setiap sisi, jahitan benang merah dan juga logo GP. Bagi mengurangkan beratnya, tiada tempat duduk diberikan pada bahagian belakang.

Nombor unik yang dicetak pada overfender luar tadi turut dicetak pada bahagian kabin. Tetapi ia bukan dalam cetakan biasa, sebaliknya menggunakan pencetak 3D, diletakkan pada papan pemuka sebelah penumpang dan juga pada roda stereng yang turut dibalut kulit Nappa dan penanda tengah dari bahan logam.

Logo-logo GP diberikan pada pelbagai tempat seperti pedal penukar gear dan juga pada karpet kaki. Manakala serlahan jalur merah pula menghiasi pelbagai bahagian termasuk pada tombol gear dan juga bar pengukuh di belakang tempat duduk.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required