Honda Accord generasi ke-10 telah pun dianugerahkan penarafan keselamatan lima-bintang daripada ASEAN NCAP hasil ujian pelanggaran yang dilakukan pada Julai lalu. Sedan ini menerima sejumlah 91.79 daripada 100 markah keseluruhan, termasuk ujian impak hadapan, ujian impak sisi dan penilaian ciri keselamatan.
Menjadi satu-satunya model Honda yang diuji pada tahun ini, Accord turut menerima markah sebanyak 49.07 untuk Pelindungan Penumpang Dewasa (AOP), 23.28 bagi Pelindungan Penumpang Kanak-Kanak (COP) dan 19.44 untuk Teknologi Bantuan Keselamatan (SATs).
Accord baharu telah pun diperkenalkan di peringkat ASEAN di Thailand pada Mac lalu, diikuti dengan Indonesia pada Julai, Filipina pada September, manakala Singapura dan Vietnam pula Oktober lalu, malah difahamkan ia juga bakal diperkenalkan di Malaysia tidak lama lagi. Honda berkata, jualan di Thailand menunjukkan keberangsangan dengan menerima 6,300 tempahan sehingga Oktober.
Di samping rekaan semula bahagian luaran, perubahan terbesar yang dilakukan adalah bagi penjana kuasa baharunya – 2.0 liter dan 2.4 liter naturally-aspirated yang akan digantikan dengan 1.5 liter turbo dan 2.0 liter hibrid. Enjin 1.5 liter VTEC Turbo adalah sama dengan Civic dan CR-V, dengan hamburan kuasa sehingga 187 hp (190 PS) dan tork 243 Nm dari 1,500 hingga 5,500 rpm.
Untuk Accord Hybrid, sistem Sport Hybrid i-MMD (Intelligent Multi-Mode Drive) digabungkan dengan enjin 2.0 liter naturally-aspirated i-VTED dengan dua motor elektrik. Enjin kitaran-Atkinson ini mampu memberikan kuasa sehingga 145 hp dan 175 Nm, sementara gabungan e-motor memberikan output 184 hp dan 315 Nm, menjadikan keseluruhan kuasa mencecah 215 hp.
Seperti model semasa, Accord baharu ini juga dilengkapi dengan Honda Sensing yang merangkumi Lane Departure Warning (LDW), Lane Keeping Assist System (LKAS), Road Departure Mitigation (RDM), Collision Mitigation Braking System (CMBS), Forward Collision Warning (FCW) dan Adaptive Cruise Control (ACC), dengan sistem terakhir itu bekerjasama dengan Low Speed Follow (LSF).
Lain-lain ciri keselamatan termasuk enam beg udara, ABS, EBD, BA, VSA, Bantuan Mula Mendaki, Honda LaneWatch dan kamera pandangan belakang pelbagai-sudut.
GALERI: Tokyo Motor Show 2019 – Honda Accord versi Jepun
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.