Toyota Yaris, Yaris Ativ 2020 di Thailand Motor Expo

Toyota Yaris, Yaris Ativ 2020 di Thailand Motor Expo

Ketika Thailand Motor Expo 2019, Toyota Motor Thailand telah mempamerkan versi kemasikini bagi model Yaris dan Yaris Ativ (versi sedan) untuk pasaran di sana. Ia melibatkan beberapa kemaskini diberikan, walaupun dari sudut penggayaan tidak banyak berubah.

Dengan pengenalan terbaru ini, unit enjin 3NR-FE 1.2 liter NA empat silinder petrol sebelum ini tidak lagi digunakan. Ia digantikan dengan unit 3NR-FKE bagi membolehkan model dalam segmen B itu menepati piawaian di bawah Peraturan Kereta Eco Fasa 2 yang diperkenalkan di sana – untuk mencapai penjimatan bahan api yang lebih baik serta kurang pembebasan sisa pembakaran enjin.

Dengan kadar penggunaan minyak 23.3 km/l, Yaris dan Yaris Ativ menepati keperluan untuk tidak melebihi bacaan 23.25 km/l (4.3 liter bagi setiap 100 km). Enjin berkenaan mempunyai kapasiti yang sama, dengan ciri Dual VVT-iE (sistem Variable Valve Timing-intelligent dengan motor elektrik) yang menggantikan Dual VVT-i (Variable Valve Timing-intelligent).

Toyota Yaris, Yaris Ativ 2020 di Thailand Motor Expo

Ia unit enjin yang mempunyai nisbah mampatan 13.5:1 berbanding 11.5:1. Kuasa juga ada pertambahan, dengan enjin yang serasi untuk penggunaan gasohol E20 ini mampu menghasilkan 92 PS pada 6,000 rpm dan 109 Nm pada 4,400 rpm (unit 3NR-FE menghasilkan 86 PS dan 108 Nm). Enjin berkenaan juga datang dengan ciri Start/Stop ketika melahu sebagai ciri standard, dan digandingkan dengan Super CVT-i.

Dari sudut penawaran varian, kini cuma ada tiga – Entry, Mid dan High – berbanding lima sebelum ini (J Eco, J, E, G dan S). Ciri keselamatan standard termasuk VSC, kawalan cengkaman, ABS, EBD, BA dan bantuan mula mendaki. Yaris Ativ juga menerima tujuh beg udara, manakala bagi Yaris hanya ada dua beg udara sahaja.

Bagi varian Entry, ia hadir dengan kelengkapan seperti lampu utama halogen, rim besi 15-inci, kerusi fabrik, stereng dan tombol gear dari urethane, head unit standard, dua pembesar suara serta pendingin hawa manual. Varian ini dijual pada harga 529,000 baht (RM73,010) bagi Yaris Ativ, manakala 539,000 baht (RM74,390) bagi Yaris.

Toyota Yaris, Yaris Ativ 2020 di Thailand Motor Expo

Varian Mid pula ada tambahan aksesori kedap bunyi di bawah bonetnya, kerusi pemandu dengan larasan ketinggian, sun visor, kluster instrumen Optitron dengan paparan pelbagai maklumat, skrin sentuh utama 6.7-inci, tambahan dua lagi pembesar suara, pendingin hawa automatik, rim 15-inci aloi dan kamera undur. Bagi kedua-dua model, varian ini 50,000 baht (RM6,900) lebih mahal berbanding Entry; bermula dari 579,000 baht (RM79,911) bagi Yaris Ativ dan 589,000 baht (RM81,298) bagi Yaris hatchback.

Varian paling tinggi, High pula diletakkan tanda harga yang sama bagi kedua-dua model iaitu 649,000 baht (RM89,583). Ini melibatkan pertambahan seperti lampu utama projektor dengan DRL LED, lampu kabus depan, perakam video digital di depan dan belakang, kerusi balutan kulit, stereng dan tombol gear balutan kulit, paparan maklumat 4.2-inci pada kluster Optitron, sistem tanpa kunci serta tambahan dua lagi pembesar suara – enam semuanya.

Toyota Yaris, Yaris Ativ 2020 di Thailand Motor Expo

Turut ditawarkan ialah aksesori Yaris Cross dengan penggayaan ala SUV, dengan tambahan harga 35,000 baht (RM4,831) bagi pakej lengkapnya. Antaranya termasuk bampar depan dan belakang hitam serta skirting warna perak dengan skid plate, kit sisi badan hitam, bumbung hitam, rim aloi 16-inci dua tona, serta ketinggian badan yang dinaikkan sebanyak 30 mm.

Kereta merah yang dipaparkan ini pula dikenali sebagai GT Edition, dengan tambahan pakej aksesori bernilai 7,000 baht (RM966) bagi kit badan lengkap. Yaris didatangkan dalam tujuh warna; Super White, Silver Metallic, Grey Metallic, Attitude Black Mica, Red Mica Metallic, Orange Metallic dan Citrus Mica Metallic. Sementara Yaris Ativ pula dalam enam pilihan – tanpa Orange Metallic dan Citrus Mica Metallic, tetapi dengan satu warna lain Dark Blue Mica Metallic.

Toyota Yaris Ativ GT Edition 2020

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required