Di Thailand, ada satu versi terbaru bagi trak pikap Mitsubishi Triton diperkenalkan November lalu, dengan nama Athlete. Kami berkesempatan untuk mendekati model ini ketika pameran Thailand Motor Expo minggu lalu. Ditawarkan hanya dalam versi double cab, Triton Athlete menampilkan penggunaan aksesori tambahan oleh pengedar, dengan harga 32,000 baht (RM4,425).

Pembeli di sana boleh memilih antara dua varian; pertama, Triton Double Cab Plus Athlete AT yang dijual pada harga 1,035,000 baht (RM143,186) dan kedua, Triton Double Cab 4WD Athlete AT dengan harga 1,146,000 baht (RM158,438) – harga termasuk pakej aksesori Athlete.

Beza antara kedua versi ini ialah sistem pacuan empat roda (Super Select 4WD II dengan kunci differential belakang). Bagaimanapun, kedua-duanya menggunakan enjin 4N15 2.4 litre turbodiesel MIVEC dengan janaan 181 PS pada 3,500 rpm dan 430 Nm tork pada 2,500 Nm.

Antara kelainan penggayaan bagi versi Athelete ini termasuk gril depan dan skid plate dalam warna hitam berkilat, dengan pemijak sisi, bampar belakang dan pemegang pintu serta perumah cermin sisi yang mengikut tema sama. Lencana Mitsubishi juga boleh dilihat pada bahagian gril, di bawah logo.

Dengan tambahan 10,000 baht (RM1,382), pembeli boleh mendapatkan bumbung hitam sebagai kontras kepada dua pilihan warna badan yang ditawarkan – Sunflare Orange and Jet Black Mica, atau dengan warna badan White Diamond yang datang standard dengan bumbung hitam.

Lain-lain barangan standard untuk versi Athlete ini ialah palang hitam berkilan, pelekat hiasan dan bed liner. Bahagian dalaman pula menerima kemasan jahitan atau embroidery khusus pada kerusi depan, tikar lantai serta banyak kemasan dalam warna oren.

Senarai kelengkapan pula sama seperti yang ada pada varian paling tinggi double cab untuk Triton. Ini termasuk lampu utama projektor bi-LED (dengan lampu tinggi automatik), rim 18-inci, pendingin hawa automatik, head unit dengan skrin sentuh, kerusi pemandu larasan lapan-cara, sistem tanpa kunci, kawalan melayar, sistem penhindaran perlanggaran, amaran titik buta, bantuan menukar lorong, amaran lintasan trafik di belakang dan tujuh beg udara.