Toyota siar video teaser Yaris GR-4 dipandu sendiri presidennya, Akio Toyoda; sah terima sistem AWD!

Toyota Yaris GR-4, iaitu hot-hatch inspirasi jentera Kejohanan Rali Dunia (WRC) yang diasaskan dari Yaris generasi baharu sepatutnya didedahkan dalam bentuk prototaip di Rali Australia bulan lalu. Tetapi disebabkan pusingan terakhir WRC 2019 itu dibatalkan kerana kebakaran hutan di New South Wales, pendedahan tersebut turut ditunda.

Masih belum diketahui bila tarikh sebenar pendedahan berkenaan, tetapi laman facebook Toyota Gazoo Racing telah menyiarkan satu video teaser baharu untuk Yaris GR-4 tersebut, yang dipandu oleh presiden syarikat sendiri iaitu Akio Toyoda atau nama pena/samarannya ketika berlumba – Morizo.

Prototaip Yaris GR-4 berkenaan mungkin adalah dari versi konsep rali, seperti prototaip GR Supra Racing Concept yang muncul terlebih dahulu sebelum prototaip produksi sebenar didedahkan kepada umum. Ini kerana, anda boleh dengar dengan jelas ia dibekalkan dengan sistem ekzos terus (straight pipe) tanpa peredam bunyi, dan menggunakan suspensi rali dengan jarak kelegaan tanah lebih tinggi, serta rim dan tayar rali untuk SS gravel dipadankan pada kereta berkenaan.

Apa yang penting, Yaris GR-4 sah menerima sistem pacuan semua roda kerana kesemua tayar dilihat ‘mengais’ pasir ketika Morizo mula memecut kereta tersebut. Ini menunjukkan bahawa Yaris GR-4 berkenaan benar-benar jentera inspirasi dari WRC, tidak seperti Ford Fiesta ST yang hanya diberikan sistem pacuan hadapan tidak seperti jentera Fiesta WRC sebenar yang menerima sistem 4WD.

Video ini turut disertakan dengan kapsyen “Pemandu Master TGR Morizo menguji GR Yaris buat kali terakhir. Bersedia untuknya,” mungkin memberikan petunjuk ia akan didedahkan dalam masa terdekat.

Bagi model standard Yaris generasi baharu, ia dihasilkan dari platform terkini TNGA-B yang menawarkan ketegaran badan lebih tinggi serta titik graviti yang lebih rendah – berpotensi untuk dijelmakan sebagai hot-hatch yang lebih baik dari Yaris GRMN sedia ada.

Toyota masih belum mendedahkan sebarang perincian berkenaan jentera ini. Namun dengan pelbagai laporan sebelumnya, berberapa teka-teki mungkin dapat dicantumkan untuk spekulasi. April tahun ini Toyota dilihat menguji sebuah Yaris dari generasi sedia ada di litar Nürburgring, tetapi kereta tersebut menampilkan unit intercooler dan rim lebih besar bersama kesemua fender lebih lebar yang bukan sahaja nampak lebih buas, tetapi ia seperti menerima sistem AWD.

Pada Julai 2019, Toyota kemudian dilihat mula menguji Yaris tersebut dengan badan sebenarnya, berselindung di sebalik pelekat penyamaran Gazoo Racing dan bukan berwarna hitam-putih biasa.

Kemudian pada September lalu, Toyota dan Subaru memeterai semula perjanjian bagi memperkukuhkan kerjasama mereka. Selain dari kembar Toyota 86 dan Subaru BRZ yang telah sah akan dibina untuk generasi seterusnya, kedua-dua syarikat tersebut ada menyebut bahawa mereka akan membangunkan model pacuan semua roda yang disifatkan “akan menawarkan sensasi pemanduan pacuan semua roda terbaik.”

Kedua-dua syarikat masih lagi merahsiakan apa model yang dibangunkan berkenaan, tetapi berdasarkan rekod, Toyota dan Subaru sememangnya mempunyai kepakaran dalam lapangan ini.

“Ketika tempoh transformasi mendalam sekali-dalam-satu abad ini, walaupun CASE merubah peranan kereta, keseronokan memandu akan sentiasa menjadi perkara penting dalam automobil dan ia sesuatu yang saya rasa perlu terus kuat dipertahankan. Saya sendiri adalah pemandu rali, dan, menerusi pengalaman saya berlatih dengan gigih menggunakan (Subaru) Impreza, saya dapat rasa keajaiban teknologi AWD Subaru dalam saraf saya,” kata Akio Toyoda ketika pengumuman kerjasama berkenaan.

GALERI: Spyshot hatchback berprestasi tinggi Toyota Yaris generasi baharu

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required