Toyota Yaris GR-4 – teaser disiar, model inspirasi WRC sebenar dengan sistem pacuan semua roda Subaru?

Toyota Yaris GR-4 – <em>teaser</em> disiar, model inspirasi WRC sebenar dengan sistem pacuan semua roda Subaru?

Ok, dalam pasaran sekarang ada tak kereta yang benar-benar model yang diinspirasikan dari Kejohanan Rali Dunia (WRC) seperti Toyota Celica GT-4, Mitsubishi Lancer Evolution, Subaru Impreza WRX dan Ford Escort RS Cosworth seperti era 90’an dulu?

Ford Focus RS? Subaru WRX STi terkini? Kedua-dua model ini tidak boleh lagi bertanding dalam WRC secara kompetitif berdasarkan undang-undang ukuran terbaharu dalam spesifikasi WRC di mana pengeluar kini menggunakan model-model segmen-B (Ford guna Fiesta untuk jentera WRC mereka). Toyota Yaris GRMN? Enjin memang berkuasa, tapi tiada sistem AWD seperti Yaris WRC.

Toyota telah menyiarkan satu teaser untuk model Yaris berprestasi tinggi baharu mereka berdasarkan model generasi baharu yang didedahkan bulan lalu, dan ia akan menggantikan model Yaris GRMN pada generasi sedia ada. Berdasarkan namanya yang kini berubah kepada GR-4 bukan lagi GRMN, ia mungkin akan menerima sistem pacuan semua roda!

Toyota Yaris generasi baharu

Model ini akan didedahkan dalam bentuk prototaip (seperti prototaip GR Supra di Goodwood Festival of Speed 2018, dengan pelekat penyamaran hitam-putih-merah Gazoo racing) di Wedding Bells, iaitu SS terakhir dan Power Stage untuk Rally Australia 2019 yang akan berlangsung hujung minggu pertengahan bulan ini. Oh ya, jangan tak tahu walaupun Rally Australia adalah pusingan terakhir WRC 2019, pemandu Toyota, Ott Tanak telah pun mengesahkan gelaran juara dunianya di Sepanyol hujung bulan lalu!

Bagi model standard Yaris generasi baharu, ia dihasilkan dari platform terkini TNGA-B yang menawarkan ketegaran badan lebih tinggi serta titik graviti yang lebih rendah – berpotensi untuk dijelmakan sebagai hot-hatch yang lebih baik dari Yaris GRMN sedia ada.

Toyota masih belum mendedahkan sebarang perincian berkenaan jentera ini. Namun dengan pelbagai laporan sebelum ini, berberapa teka-teki mungkin dapat dicantumkan untuk spekulasi. April tahun ini Toyota dilihat menguji sebuah Yaris dari generasi sedia ada di litar Nürburgring, tetapi kereta tersebut menampilkan unit intercooler dan rim lebih besar bersama kesemua fender lebih lebar yang bukan sahaja nampak lebih buas, tetapi ia seperti menerima sistem AWD.

Pada Julai 2019, Toyota kemudian dilihat mula menguji Yaris tersebut dengan badan sebenarnya, berselindung di sebalik pelekat penyamaran Gazoo Racing dan bukan berwarna hitam-putih biasa.

Kemudian pada September lalu, Toyota dan Subaru memeterai semula perjanjian bagi memperkukuhkan kerjasama mereka. Selain dari kembar Toyota 86 dan Subaru BRZ yang telah sah akan dibina untuk generasi seterusnya, kedua-dua syarikat tersebut ada menyebut bahawa mereka akan membangunkan model pacuan semua roda yang disifatkan “akan menawarkan sensasi pemanduan pacuan semua roda terbaik.”

Kedua-dua syarikat masih lagi merahsiakan apa model yang dibangunkan berkenaan, tetapi berdasarkan rekod, Toyota dan Subaru sememangnya mempunyai kepakaran dalam lapangan ini.

“Ketika tempoh transformasi mendalam sekali-dalam-satu abad ini, walaupun CASE merubah peranan kereta, keseronokan memandu akan sentiasa menjadi perkara penting dalam automobil dan ia sesuatu yang saya rasa perlu terus kuat dipertahankan. Saya sendiri adalah pemandu rali, dan, menerusi pengalaman saya berlatih dengan gigih menggunakan (Subaru) Impreza, saya dapat rasa keajaiban teknologi AWD Subaru dalam saraf saya,” kata presiden Toyota, Akio Toyoda ketika pengumuman kerjasama berkenaan.

Adakah Yaris lebih liar tersebut ada kena mengena dengan apa yang berlaku sebelum ini? Sama-sama kita tunggu ketika pendedahannya nanti.

GALERI: Spyshot hatchback berprestasi tinggi Toyota Yaris generasi baharu

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required