Mercedes-Benz GLC X253 facelift pertama kali didedahkan pada Februari tahun ini diperingkat global, dan kini ia tiba di pasaran tempatan; Mercedes-Benz Malaysia menawarkan dua varian sebagai pilihan untuk pelanggan. Selain daripada perubahan penggayaan, kemaskini penting lain turut diberikan kepada model berkenaan.

Dua varian yang dimaksdukan terdiri daripada GLC 200 yang dijual pada harga RM299,888. Ini diikuti oleh variab GLC 300 AMG Line yang dijual pada harga anggaran RM350,000 (atas jalan, tidak termasuk insurans).

Dari sudut penampilan, rekaan umum GLC masih kekal. Bagaimanapun model facelift ini menerima beberapa kemaskini kosmetik seperti bahagian gril yang direka semula, serta penggunaan lampu utama dalam bentuk trapezoid yang lebih kurus. Pada GLC 200, ia dilengkapi dengan LED High Performance, sementara pada model paling tingginya dipasangkan sistem Multibeam LED dengan Adaptive Highbeam Assist Plus.

Lain-lain perubahan termasuk lampu belakang yang kini dengan rekaan visual gegelung, sama seperti yang ada pada GLE. Bahagian bampar juga telah diberi rekaan baru untuk versi facelift ini, dengan rekaan yang berbeza bagi pakej tingkat kelengkapan yang ditawarkan padanya.

Bagi GLC 200, ia hadir dengan pakej luaran off-road, termasuk di dalamnya bampar depan dengan sudut laluan (approach angle) lebih besar serta skid plate krom, termasuk kemasan krom besar pada hujung ekzosnya. Ini dilengkapi oleh rekaan gril berkembar baru serta rim aloi 20-inci lima-jejari berkembar yang digunakan.

Sementara itu, bagi GLC 300, ia menampilkan kemasan luaran AMG Line. Ini termasuk bampar dengan rekaan yang lebih agresif, rekaan gril tunggal dengan imej diamond serta skid plate krom yang lebih bersahaja. Kemasan krom juga berkurangan pada bahagian apron bampar belakang, serta ia datang dengan pakej Night, bumbung panoramik serta rim 20-inci AMG.

Enjin pula dikuasai oleh unit M264 2.0 liter turbocas empat-silinder petrol yang menghasilkan 197 PS dan 280 Nm tork pada GLC 200. Unit ini turut menampilkan sistem mild hybrid EQ Boost 48-volt, dengan tambahan gesaan 14 PS dan 150 Nm ketika pecutan, dengan pengumpulan semula tenaga serta ciri luncuran jimat tenaga.

Bagi GLC 300, ia menggunakan enjin sama, tetapi dengan janaan 258 PS dan 3700 Nm. Kedua-dua enjin berkenaan dipadankan dengan transmisi automatik sembilan-kelajuan 9G-Tronic, dengan ciri pacuan 4Matic sebagai ciri standard pada GLC 300.

Selain itu, suspensi Comfort pada GLC 200 juga kini dengan 20 mm tambahan bagi kelegaan tanahnya, sementara GLC 300 menerima suspensi Agility Control dengan sistem penyerap hentak bersama pilihan. Di dalam, GLC 200 datang dengan rekaan dalaman Exclusive; stereng balutan kulit, lampu suasana, kawalan pendingin hawa dua-zon Thermatic, paparan 12.3-inci digital untuk pemandu serta kerusi depan larasan elektrik.

Bagi GLC 300, dalamannya juga terdiri daripada kemasan yang selari dengan AMG Line di luar. Ini termasuk stereng balutan kulit Nappa, paddle shifters, kawalan pendingin tiga-zon Thermotronic, pencahayaan bingkai pintu, tikar lapik AMG dan penghadang cahaya matahari tingkat di belakang.

Sistem infotainmen adalah sama antara kedua-dua varian; Mercedes-Benz User Experience (MBUX) yang digandingkan bersama skrin sentuh 10.25-inci. Sistem ini menyokong input media seperti biasa, termasuk Apple CarPlay dan Android Auto serta menampilkan model LTE untuk membolehkan penggunaan khidmat Mercedes me connect (Mmc), yang turut dilancarkan sekali. GLC 300 bagaimanapun menerima sistem bunyi Burmester.

Bagi sistem keselamatan dan alat bantuan pemandu, antara ciri yang ada ialah Active Brake Assist, Blind Sport Assist, Active Parking Assist dengan Parktronic, kawalan melayar, Pre-Safe dan sistem peninjau tekanan tayar adalah ciri standard. GLC 300 bagaimanapun menerima ciri tambahan seperti kamera 360-darjah, Active Lane Keeping Assist, Keyless-Go dan Hands Free Access.

Mercedes-Benz GLC 200 facelift 2019

Mercedes-Benz GLC 300 AMG Line 2019