Pada Mac lalu, sewaktu melawat Pakistan, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah menghadiahkan seunit Proton X70 kepada Perdana Menteri negara tersebut, Imran Khan. Walau bagaimana pun, baru semalam, Proton menyerahkan X70 terbabit secara rasmi kepada kerajaan Pakistan.
Mewakili Malaysia pada majlis penyerahan ialah Ikram Mohammad Ibrahim, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan serta Khalid Yusof, Pengarah Pelaburan dan Promosi Proton. Bagi pihak Kerajaan Pakistan untuk menerima kereta tersebut pula ialah Abdul Razak Dawood, Penasihat Perdana Menteri bagi Perdagangan, Tekstil, Industri & Pengeluaran dan Pelaburan Pakistan. Turut hadir ialah Al-Haj Shah Jee Gul Afridi, Pengerusi ALHAJ Automotive iaitu pengedar rasmi Proton di Pakistan.
Untuk pengetahuan, unit pertama yang diserahkan khas untuk Perdana Menteri Pakistan itu bukanlah satu-satunya model yang akan berada di sana. Ini kerana sebuah kilang pemasangan CKD baharu yang dimiliki dan dikendalikan oleh ALHAJ Automotive sedang rancak dibina di Karachi. Aktiviti pengeluaran dijadualkan bermula pada tahun 2021 dengan pelbagai pelan dirancang secara teratur untuk pemasangan beberapa model di negara ini.
“Proton melihat pelbagai potensi di Pakistan dan oleh kerana Malaysia adalah satu-satunya negara Islam yang mempunyai jenama automotif sendiri, kedua-dua negara dilihat sebagai rakan usaha sama semula jadi yang mempunyai pelbagai kelebihan bersama yang boleh dikongsi antara satu sama lain. Proton X70 telah memenangi pelbagai anugerah di Malaysia dan kami berharap agar perkara yang sama dapat dicapai di Pakistan,” kata Khalid Yusof.
Melalui pembinaan kilang pemasangan di Pakistan, Proton berharap dapat kelebihan pengurangan cukai bagi kenderaan CKD di negara tersebut. Ini akan membantu Proton dalam mencapai matlamat jangka panjangnya untuk menjual 400,000 unit kereta menjelang 2027.
Kilang pemasangan CKD baharu di Karachi akan dibina dengan pelaburan awal sebanyak USD30 juta dan akan mewujudkan 2,000 peluang pekerjaan langsung dalam tempoh tiga tahun pertama operasinya. Dianggarkan pula akan terdapat lebih 20,000 peluang pekerjaan tidak langsung setelah kilang tersebut siap dibina.
Menurut Al-Haj Shah Jee Gul Afridi, “ALHAJ Automotive akan memanfaatkan pengedar sedia ada di seluruh negara itu untuk mula menjual kereta- kereta Proton secepat mungkin sementara kami membangunkan cawangan 3S/4S. Kami akan menghantar unit- unit CBU dari Malaysia sebagai permulaan operasi di Pakistan sebelum memasarkan unit CKD sebaik sahaja kilang pemasangan itu mula beroperasi.”