TAS2020: TOM’S GR Supra A90 – 460 PS/579 Nm, dibina terhad hanya 99 unit, harga bermula RM570k

TAS2020: TOM’S GR Supra A90 – 460 PS/579 Nm, dibina terhad hanya 99 unit, harga bermula RM570k

Tahun lepas TOM’S cuma dapat bawa Corolla Sport ke Tokyo Auto Salon (TAS) 2019. Tahun ini disebabkan Toyota secara rasmi telah menjual GR Supra A90 secara rasmi, jadi mereka mempunyai sesuatu yang lebih menarik untuk ‘bermain’; mempersembahkan, TOM’S GR Supra – bukan model konsep, tetapi dihasilkan secara terhad hanya 99 unit, dan anda boleh belinya dengan harga bermula 14.23 juta yen (RM570k)!

TOM Supra ini bukan model yang diberikan tingkat taraf pada rupa semata-mata, di mana ia juga hadir dengan jumlah kuasa lebih besar dan prestasi lebih baik dari GR Supra standard. Tiada enjin 2JZ dalam perut Supra ini, sebaliknya enjin 3.0 liter enam-silinder turbo BMW B58 asal masih digunakan.

Tetapi dengan penukaran pengecas turbo, unit intercooler dan sistem ekzos aliran lebih tinggi serta talaan semula pada kotak komputer, TOM’S Supra ini bernafas dengan 460 PS dan tork maksima 579 Nm, atau 120 PS/79 Nm lebih berkuasa dari asal.

TAS2020: TOM’S GR Supra A90 – 460 PS/579 Nm, dibina terhad hanya 99 unit, harga bermula RM570k

Pengedalian dan juga prestasi membrek juga diambil perhatian oleh TOM’S untuk versi edisi terhad ini. Kesemua penyerap hentak asal GR Supra berkenaan digantikan dengan set suspensi boleh laras sepenuhnya TOM’S Advox. Manakala brek hadapan Brembo asli Supra juga telah ditanggalkan bagi digantikan dengan angkup enam-silinder bersama cakera 380 mm, juga dibekalkan oleh Brembo.

Seperti yang anda boleh lihat, rupa luaran TOM’S Supra ini juga jauh lebih ganas dari Supra A90 standard. Kesemua fender kereta ini kelihatan lebih gemuk dari biasa menerusi pemandanan kit badan lebih lebar. Bampar hadapan menerima kemasan tambahan pada sisi untuk diserasikan dengan overfender tersebut, bersama spoiler bawah gentian karbon yang jauh lebih besar.

Udara yang ‘dikaut’ dari hadapan, kelihatan seperti terus ‘disambut’ oleh splitter udara gentian karbon pada skirt sisi. Di belakang, punggung Supra yang sudah sedia menghairahkan ini diberikan diffuser gentian karbon yang jauh lebih agresif bersama empat tip ekzos oval bersaiz besar yang datang dari muffler sistem ekzos lengkap dari TOM’S berkenaan.

TOM’S turut memberikan spoiler belakang dengan sayap yang besar, diletakkan bertenggek di atas ‘ekor itik’ asal GR Supra ini. Berbeza dengan model-model TOM’S sebelum ini yang sinonim dengan rim-rim JDM seperti Volk Racing, TOM’S GR Supra dibekalkan dengan rim yang agak BMW iaitu Vossen – mungkin atas faktor lubang PCD dan offset yang lebih mudah.

Unit yang di pamerkan di Makuhari Messe ini hadir dalam warna hijau satin. Tapi mengikut brosur yang kami terima, anda turut boleh memilih lima warna lain iaitu putih, kelabu, hitam, merah dan kuning – kami tak faham dengan tulisan Jepun yang tertulis, tapi mungkin kesemua warna tersebut adalah warna yang sama dengan GR Supra standard.

Kesemua warna ini akan diberikan serlahan jalur hijau fluoroscent pada spoiler hadapan, sirip udara skirt sisi, diffuser belakang dan sekeliling rim. Pada bahagian dalaman pula, TOM’S GR Supra ini hadir dengan tempat duduk bucket TOM’S yang dihasilkan oleh Esqueleto.

Bagi mereka yang tidak mengenali TOM’S (Tachi Oiwa Motor Sports), syarikat ini merupakan penala persendirian yang ditubuhkan di Jepun oleh Nobuhide Tachi dan Kiyoshi Oiwa pada tahun 1974.

Syarikat tersebut kemudiannya dilantik sebagai salah satu badan perlumbaan dan penala rasmi Toyota bagi menghasilkan pelbagai produk berpretasi tinggi. TOM’S juga terkenal dengan menghasilkan model-model talaan khasnya seperti T020 (diasaskan dari Toyota MR-2) dan T111 (dari Toyota Corolla Sprinter Trueno AE111) serta kereta lumba ikonik Castrol TOM’S Supra yang berlumba di JGTC.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required