Banyak perancangan ringkas serta angka-angka sasaran baru yang dikongsikan oleh CEO Proton, Dr. Li Chunrong ketika sesi bersama media hari ini. Antaranya sasaran jualan bagi tahun 2020 yang telah dinaikkan sebanyak 32% lagi, perancangan untuk menambah angka eksport dan juga pengenalan model baru X70 CKD serta X50 tahun ini.

Satu lagi perkara menarik yang dikongsikan oleh beliau ialah sasaran Proton untuk menduduki tangga No.1 bagi jualan di dalam lima segmen berbeza. Walaupun beliau tidak nyatakan secara jelas perincian untuk perkara berkenaan, berdasarkan angka jualan yang sempat kita perhatikan sepanjang 2019, rasanya boleh diagak segmen yang mana.

Pertama sekali tentulah SUV X70 yang berada di dalam segmen C SUV, yang menjadi pendahulu segmen berkenaan sejak awal tahun lagi. Sementara itu, Exora juga menjadi pendahulu untuk segmen C bagi MPV. Jadi ini mungkin antara segmen yang diintai oleh Proton untuk mengukuhkan kedudukan. Selain itu, Proton Saga juga kerap menggungguli di dalam segmen A sedan, dan rasanya masih mempunyai kelebihan untuk terus bersaing dengan lawan yang sama padan, Perodua Bezza yang baru sahaja diberikan pembaharuan untuk tahun 2020 ini.

Model SUV crossover yang bakal dilancarkan, X50 juga mempunyai peluang cerah untuk merampas kedudukan teratas segmen yang dihuninya – SUV segmen B. Selain itu, Persona juga mempunyai peluang yang saksama untuk menggugat di dalam segmen B sedan, memandangkan pesaing lain – seperti Honda City dan Toyota Vios – datang tanda harga yang lebih mahal.

Dan menurut Dr. Li, hanya dalam satu segmen sahaja Proton menjangkakan akan memnduduki tempat kedua. Ini tidak lain merujuk kepada Iriz, yang berentap di dalam segmen B hatchback dan berdepan dengan pilihan yang lebih popular, model apa lagi kalau bukan Perodua Myvi. Anda rasa Proton mampu memberikan saingan yang lebih ketat terhadap Perodua untuk tahun 2020 ini?