Nissan telah mengumumkan akan menggantung sementara pengeluarannya di kilang di Kyushu, Jepun, disebabkan masalah rantaian bekalan komponen yang berpunca daripada penularan corovirus yang turut melumpuhkan industri pembuatan di China. Nissan akan menjadi kilang pengeluar automotif pertama di Jepun yang berbuat demikian dan yang kedua di luar China selepas Hyundai mengambil langkah yang sama di Korea Selatan.

Dalam kenyataannya, Nissan berkata, pengeluaran akan terjejas pada 14 hingga 17 Feb ini disebabkan kekurangan bekalan komponen dari China. Dijangka ia akan memberikan kesan terhadap pengeluaran sebanyak 3,000 kenderaan, laporan Nikkei. Ia melibatkan dua sektor pengeluaran yang akan digantung pada 14 Feb, dengan satu lagi sektor yang mengeluarkan kereta untuk pasaran eksport pula akan dihentikan pada 17 Feb.

Kilang Nissan yang terletak di barat daya Jepun itu mengeluarkan model termasuk MPV Serena untuk pasaran domestik dan juga SUV Rogue (atau dikenali sebagai X-Trail), yang merupakan kenderaan paling laris di Amerika Syarikat. Kilang ini mampu mengeluarkan sebanyak 530,000 unit kenderaan setahun.

Di China pula, Nissan berkata, pihaknya sedang bersedia untuk memulakan semula operasi pengeluaran seawal 17 Feb di kilangnya di Huadu (di wilayah Guangdong) dan Dalian (wilayah Liaoning). Walau bagaimana pun, tarikh untuk memulakan semula operasi di lain-lain kilangnya masih belum ditentukan.

Ini merupakan tempoh yang sukar untuk pengeluar kenderaan, dan situasi penularan coronavirus nampaknya memberikan kesan terhadap industri ini. Bukan setakat Nissan dan Hyundai, jenama lain termasuk Kia juga dikatakan mengambil langkah yang sama di Korea Selatan. Begitu juga dengan Fiat Chrysler yang terpaksa mengambil langkah yang sama dengan menggantung operasi di salah satu kilangnya di Eropah baru-baru ini. Manakala Renault pula sedang mempertimbangkan untuk mengantung operasi kilangnya di Busan, Korea Selatan, minggu ini.