Lexus LM dilancarkan di Thailand – harga bermula RM739k hingga RM873k, pilihan 4- dan 7-tempat duduk

Lexus LM dilancarkan di Thailand – harga bermula RM739k hingga RM873k, pilihan 4- dan 7-tempat duduk

Setelah hampir setahun didedahkan di peringkat global, versi lebih mewah dari MPV mewah Toyota Alphard iaitu Lexus LM kini sudahpun begitu hampir dengan kita – ia secara rasmi dilancarkan di Thailand, ditawarkan dalam dua varian; dijual pada harga bermula 5.5 juta baht (RM738,655) untuk versi tujuh-tempat duduk, manakala versi super mewah empat-tempat duduk dijual pada harga 6.5 juta baht (RM873,457).

Bagi membayangkan kedudukan sebenar harga Lexus LM ini, di Thailand varian tertinggi Toyota Alphard iaitu dari versi 3.5 VIP dengan Executive Lounge dijual pada harga 5.429 million baht (RM730,405), manakala model 2.5 Hybrid pula dijual pada harga 3.939 juta baht (RM529,910). Manakala di Malaysia, Alphard 3.5 (tanpa spesifikasi Executive Lounge) dijual pada harga RM464,000.

Untuk pasaran Thailand, MPV ini hadir dalam versi LM300h, iaitu versi janaan petrol dan sistem hibrid menampilkan enjin 2AR-FXE 2.5 liter empat silinder tanpa turbo kitaran Atkinson berkuasa 154 PS/206 Nm dan kotak gear E-CVT untuk memacu roda hadapan, motor elektrik berkuasa 143 PS/270 Nm dan juga satu lagi motor elektrik berasingan pada gandar belakang berkuasa 68 PS/139 Nm – menjadikan MPV ini sebagai kenderaan pacuan semua roda.

Motor-motor elektrik pada MPV berkenaan menerima kuasa dari bateri logam-nikel hidrat 224.8-volt. Secara keseluruhan, unit janakuasa petrol hibrid pada Lexus LM ini menjana 197 PS. Ini membolehkan MPV tersebut memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa 10.5 saat dan mencapai kelajuan maksima 180 km/j. Penggunaan bahan apinya pula dicatatkan pada kadar 6.4 l/100 km.

Berapa mewah Lexus LM ini berbanding Alphard? Untuk versi paling mewah dengan konfigurasi empat-tempat duduk, ia diasaskan dari kabin Alphard dengan spesdifikasi Royal Lounge. Ini bermakna ruang yang besar pada kabin belakang hanya diletakkan dengan dua buah tempat duduk kapten yang turut boleh dibaringkan sepenuhnya. Tempat duduk ini turut menampilkan kemasan kulit semi-aniline dengan span AdaptiPedic di bawahnya, bersama fungsi pengurut berkuasa.

Hubungan antara ruang ini dengan kokpit hadapan boleh dipisahkan sepenuhnya menerusi pemisah berkuasa elektrik. Manakala untuk sistem infotainmen “ruang tamu bergerak” ini dibarisi oleh skrin bersaiz 26-inci, serta sistem bunyi surround dari Mark Levinson yang dilengkapi 19-pembesar suara, dan boleh dioperasikan dengan kawalan touch pad.

Lexus LM dilancarkan di Thailand – harga bermula RM739k hingga RM873k, pilihan 4- dan 7-tempat duduk

Ruang tersebut turut mempunyai peti sejuk bagi memastikan minuman anda sentiasa sejuk dan juga ruang storan khas untuk menempatkan beg bimbit. Kelengkapan mewah lain yang turut melengkapi ruang ini termasuk sistem pendingin hawa kawalan S-Flow, moon roof yang diperbesarkan serta hiasan Gin-Sui-Boku (dakwat perak) yang dinspirasikan dari lukisan ink wash Jepun.

Manakala untuk versi tujuh-tempat duduk, ciri mewah pada model lebih “mampu-milik” ini sudah tentu dikurangkan. Ia masih diberikan tempat duduk kapten (dengan fungsi Ottoman berkuasa) di baris tengah, dan tempat duduk jenis bench di belakang – lebih mirip kepada spesifikasi Executive Lounge pada Alphard.

Kelengkapan lain turut yang dibekalkan untuk LM 300h pasaran Thailand ini termasuk rim 17-inci, lampu hadapan LED, paparan instrumen dengan skrin Optitron 4.2-inci, sistem penghawa dingin dua zon untuk kokpit hadapan, pintu gelangsar berkuasa, paparan utama 12.3-inci dan pengecas telefon pintar tanpa wayar.

Untuk keselamatan pula, MPV Lexus ini dibekalkan dengan sistem bantuan pemanduan yang terdiri dari sistem pra-pelanggaran, cruise control adaptif, bantuan pengesan lorong, bantuan tukar lorong dengan pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, sistem lampu tinggi adaptif, brek sokongan parkir, dan juga cermin pandang belakang digital.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required